Muhyiddin tanya dia atau Najib pengkhianat sebenar?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan persoalan sama ada dirinya atau Datuk Seri Najib Razak pengkhianat yang merugikan orang Melayu.

Kata Presiden Bersatu itu, ada pemimpin UMNO menghasut orang Melayu supaya percaya Muhyiddin adalah pengkhianat.

“Kononnya sayalah yang menyebabkan kerugian kepada orang Melayu apabila menubuhkan Bersatu dan bekerjasama dengan PKR dan DAP menjatuhkan UMNO.

“Mereka cuba menutup hakikat sebenar bahawa UMNO dikhianati oleh bekas Presiden UMNO sendiri, iaitu Datuk Seri Najib Razak. Beliau membiarkan skandal 1MDB menjadi terlalu besar dan buruk sehingga majoriti rakyat membenci UMNO.

“Beliau memecat saya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2015 hanya kerana menyarankan agar isu 1MDB disiasat secara telus. Saya sarankan demikian supaya ia tidak menimbulkan sebarang tanggapan buruk kepada kerajaan dan parti pada ketika itu.

“Malangnya saranan saya dijawab dengan pemecatan dari kerajaan dan UMNO. Ingat, saya dipecat bukan kerana skandal rasuah mahupun salah laku moral.
Saya dipecat kerana meminta diadakan siasatan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dalam kehilangan RM42 bilion wang 1MDB dibawa ke muka pengadilan,” ujar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam catatan di Facebooknya pada Jumaat.

Muhyiddin menyoal, adakah orang Melayu telah lupa saat kita dimalu dan dipandang hina di seluruh dunia kerana skandal 1MDB?

“Apakah orang UMNO tidak tahu bahawa punca mereka kalah adalah kerana Najib menyeret parti dalam skandal beliau?

“Jika saya dianggap pengkhianat kerana mendedahkan skandal 1MDB dan menubuhkan Bersatu untuk menentang kumpulan kleptokrat di dalam UMNO, saya rela dengan gelaran tersebut.

“Kini terbukti perjuangan saya adalah benar. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Najib atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International yang ada hubung kait dengan 1MDB,” kata Muhyiddin.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, jelas skandal 1MDB bukan satu fitnah. Bukan satu rekaan.

“Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan saya telah mengutip semula lebih RM16 bilion wang dan aset berkaitan syarikat 1MDB yang telah diseleweng.

“Kes 1MDB masih dibicarakan di negara kita. Keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes SRC International juga sedang dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan.

” Selain kes 1MDB dan SRC International, terdapat beberapa kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang melibatkan pemimpin UMNO. Mereka ini digelar Kluster Mahkamah.

” Ya, saya jadi Perdana Menteri kerana disokong oleh Ahli-ahli Parlimen termasuk daripada Kluster Mahkamah. Ada orang kata tidak malukah saya terima sokongan Kluster Mahkamah untuk jadi Perdana Menteri.

“Saya tidak minta untuk jadi Perdana Menteri. Saya tidak pernah berkempen pun untuk jadi Perdana Menteri,” tegas beliau.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memberitahu, beliau hanya mengikut apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

” Apabila saya mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen, saya dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri. Maka sahlah pelantikan saya itu.

” Selepas itu barulah saya sedar bahawa sokongan mereka itu sebenarnya ibarat pepatah ada udang di sebalik batu. Selang beberapa hari selepas saya dilantik menjadi Perdana Menteri, Kluster Mahkamah ini berjumpa saya meminta saya campur tangan dalam kes mereka supaya mereka dibebaskan.

“Walaupun saya tahu kedudukan saya sebagai Perdana Menteri bergantung kepada sokongan mereka, saya katakan tidak kepada mereka kerana saya tidak mahu mengkhianati sumpah dan amanah jawatan saya sebagai Perdana Menteri.

“Saya tidak sanggup menggadai prinsip perjuangan saya dan asas perjuangan parti saya semata-mata kerana mahu kekal berkuasa.

“Saya juga tidak melantik sesiapa pun yang sedang didakwa di mahkamah atau sedang dalam siasatan pihak berkuasa untuk menjadi anggota Kabinet saya walaupun mereka berjawatan tinggi dalam parti UMNO.

” Saya buat perkara yang betul, jadi buat apa saya berasa malu? Tegas beliau.

Jelas Muhyiddin lagi, sejak dari itulah bermulanya gerakan Kluster Mahkamah ini untuk menjatuhkannya.

“Kalau semua ingat, sepanjang saya menjadi Perdana Menteri, UMNO yang dikuasai oleh Kluster Mahkamah menentang hampir setiap dasar dan inisiatif kerajaan Perikatan Nasional walaupun ia baik untuk rakyat. Gelagat mereka tidak ubah seperti pembangkang.

” Tentunya juga anda masih ingat rakaman audio seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang bercakap dalam Mesyuarat MT UMNO pada bulan Julai 2021. Dia menggesa UMNO menarik sokongan kepada saya ketika kes-kes Covid-19 sedang meningkat. Kononnya apabila kes-kes Covid-19 telah menurun, kerajaan PN akan mendapat kredit dan sukarlah untuk UMNO melawan PN.

” Itulah yang dilakukan oleh UMNO. Kira-kira sebulan selepas itu, 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada saya dan jatuhlah Kerajaan PN,” katanya.

Mereka berharap apabila saya jatuh, mereka akan menguasai semula kerajaan. Dengan menguasai kerajaan mereka fikir masalah mereka boleh diselesaikan,”katanya lagi.

“Tetapi perancangan mereka masih belum berhasil kerana PN masih lagi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan sokongan PN kepada Perdana Menteri daripada UMNO adalah dengan syarat Perdana Menteri tidak mencampuri urusan mahkamah.

” Jadi tidak peliklah Kluster Mahkamah ini masih tidak berpuas hati. Mereka mahu PN tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan dan dengan itu kerajaan akan dikuasai sepenuhnya oleh parti UMNO yang dikuasai oleh kluster ini.

” Satu cara untuk kumpulan ini kembali berkuasa ialah dengan menumbangkan kerajaan-kerajaan negeri yang dibentuk melalui gabungan dengan PN supaya diadakan pilihan raya negeri.

“Apabila diadakan pilihan raya dan jika parti mereka menang, kepimpinan parti yang diterajui oleh Kluster Mahkamah akan dilihat semakin kuat dan berpengaruh.

” Strategi ini bermula selepas BN menang PRN Melaka. Mereka berasa cukup yakin bahawa rakyat telah kembali menyokong mereka walaupun BN hanya mendapat 38.5 peratus undi. Kerana itu kumpulan ini telah merancang pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor untuk diadakan Pilihan Raya Negeri Johor,” ujar Muhyiddin.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat