KUALA LUMPUR – Istana Pahang tidak akan membuat kenyataan berkaitan titah adendum dikemukakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di mahkamah bagi menyokong permohonan membenarkannya menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.
Penasihat Undang-undang Pahang Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin memaklumkan, beliau menghadap Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menyembah maklum berhubung titah adendum baginda yang juga Yang di-Pertuan Agong ke-16 dikemukakan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan afidavit Exco Pahang Datuk Nizar Najib.
“Atas nasihat Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) dan saya serta bagi menghormati prosiding mahkamah, maka pihak Istana Pahang tidak akan membuat apa-apa kenyataan tentang perkara ini.
“Kerana boleh mengakibatkan subjudis ke atas kes rayuan telah di hadapan Mahkamah Rayuan Malaysia di dalam Rayuan Sivil yang telah ditetapkan untuk pendengaran pada 6 Jan 2025 di mana keputusan berkenaannya masih belum dibuat oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada 5 Dis lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan mengemukakan bukti baharu di Mahkamah Rayuan bagi membuktikan wujudnya perintah tambahan yang membenarkannya menjalani baki tempoh penjaranya di bawah tahanan rumah.
Namun, tarikh pendengaran rayuan itu ditetapkan 6 Jan.
Bekas Presiden Umno itu bergantung kepada bukti baharu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman agar kerajaan melaksanakan titah diraja dikeluarkan Sultan Abdullah.
Dokumen mahkamah itu mendapati permohonan Najib termasuk afidavit ditandatangani anaknya, Nizar, yang juga exco Pahang.
Pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB) mengumumkan bahawa hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dihadapinya dikurangkan separuh dari 12 kepada enam tahun dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib kini menjalani hukuman di penjara Kajang.
Dalam permohonan kebenarannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 1 April, Najib mendakwa bekas Agong itu turut mengeluarkan dekri tambahan yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara yang dikurangkan bawah tahanan rumah, pada mesyuarat FTPB, 29 Jan lalu.
Bekas perdana menteri itu berkata FTPB tidak mengumumkan syarat dekri tambahan itu dan kerajaan melakukan penghinaan kerana tidak mematuhinya.
Najib mahu mahkamah memaksa kerajaan melaksanakan dekri tambahan itu, jika ada, dengan meletakkannya di bawah tahanan rumah.