PUTRAJAYA – “Sekiranya saya dilabel sebagai pengkhianat besar kepada negara berkait pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan maka seluruh Jemaah Menteri pada 2018 juga wajar dilabel sama termasuk Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Azizah Wan Ismail”.
Demikian reaksi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pendedahan RCI Pulau Batu Puteh.
Dr Mahathir malah tegas menolak laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang kononnya mendakawa beliau membuat keputusan secara sembunyi-sembunyi.
“Suruhanjaya (RCI) dapati saya buat keputusan dan menipu Kabinet. Saya tidak setuju, saya juga tidak buat keputusan secara sembunyi-sembunyi.
“Keputusan untuk tidak teruskan dengan semakan dan tafsiran ini adalah keputusan yang dibuat Kabinet. Kalau tidak percaya sila bertanya kepada mereka (Jemaah Menteri) yang hadir pada mesyuarat Kabinet dan rujuk cabutan minit mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Mei 2018.
“Saya juga ingin bertanya, pada masa keputusan ini dibuat mengapa Mohamad Sabu; Anthony Loke; Gobind Singh Deo dan Dr Dzulkefly Ahmad tidak berkata apa-apa? Atau adakah mereka bersetuju seperti mereka bersetuju Kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim teruskan RCI dan bentang di Parlimen laporan RCI ini?
“Perdana Menteri (Anwar) baru-baru ini menyatakan isu ini adalah pengkhianatan. Kalau begitu mulai Mei 2018 hingga Februari 2020 tidakkah Wan Azizah bercakap mengenai ‘pengkhianatan’? Bukankah Wan Azizah Timbalan Perdana Menteri ketika saya jadi Perdana Menteri dan isteri PM sekarang? Wan Azizah ada di sebelah saya ketika itu tapi tak cakap apa-apa pun,” katanya ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Selasa.
Justeru katanya, seluruh Kabinet juga layak dikategorikan sebagai pengkhianat, bukan cuma beliau seorang.
Pun begitu, Dr Mahathir tidak menghalang siasatan ke atas beliau berkait RCI Pulau Batu Puteh ini.
“Apa pun saya yakin siasatan RCI Pulau Batu Puteh ini adalah idea untuk ‘memusnahkan saya’ dengan label pengkhianat negara.
“Kalau ada siasatan saya sedialah. Nak tanya, nak periksa, nak buat siasatan jenayah… silakan.
“Anwar sehingga hari belum juga dapat buktikan kononnya saya mencuri wang negara, satu sen pun tak bukti lagi,” bidas beliau.
Untuk fakta kes, Dr Mahathir memaklumkan pada 23 Mei 2018 itu Jemaah Menteri telah bersetuju tidak lagi teruskan semakan dan tafsiran kes Pulau Batu Puteh maka beliau mempersoalkan “kalau keputusan ini bersama, hanya saya seorang yang salah? Atau kesemuanya “collectively responsible”?
“Kalau semua dalam mesyuarat bersetuju, adakah kami semua pengkhianat?
“Saya tidak menipu sama sekali. Bahkan saya tidak sama sekali gadai kedaulatan Malaysia.
“Segala keputusan saya adalah demi bangsa, agama dan negara,” tegas beliau.
Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkongsi pengalaman mentadbir kerajaan memajukan Pulau Layang-Layang di perairan Sabah.
“Dari batu yang kecil kita majukan sehingga ada short landing strip, kapal terbang kecil dapat mendarat, kita bina hotel dan kedai-kedai serta kawasan itu menjadi pusat selam dan pelancongan.
“Pulau Layang-Layang menyumbang kepada negara dan kita tidak hilang inci tetapi tambah sehingga 35 hektar. Pulau ini sekarang 7.5km panjang dan 2.2km lebar. Kita dapat perkuat kedaulatan negara, kita hanya perlu buat bukan bercakap sahaja,” ujar Dr Mahathir lagi.
Pada 6 Dis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan laporan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, sebagai pendedahan terhadap kelemahan yang berlaku dan menganggap ia satu pengkhianatan besar terhadap negara.
Tegasnya, menjaga kedaulatan negara seharusnya menjadi keutamaan dan semua pihak diminta menghormati proses undang-undang yang akan berlaku.
“RCI itu mendedahkan kelemahan, dari satu sudut, pengkhianatan yang berlaku kerana setiap inci tanah kita patut diperjuangkan habis-habisan.
“Tetapi nampaknya ada kegagalan telah didedahkan dan ia bukan perkara ringan. Apa-apa kesalahan yang melibatkan soal menyerahkan kedaulatan, dianggap satu pengkhianatan besar kepada negara.
“Walau bagaimanapun, proses undang-undang harus dihormati, jadi kita tengok prosedur berikutnya,” katanya
Terdahulu pada Khamis, RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, mengesyorkan siasatan jenayah dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir mengetuai jemaah menteri pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ), yang memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh.
Laporan akhir yang diklasifikasikan itu telah diserahkan oleh Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Jumaat mengesahkan laporan RCI itu akan dibentang di sidang Dewan Rakyat, minggu ini.