Cacar Monyet Tiada kaitan Dengan Monyet, Jangan Bunuh – WHO

- Advertisement -

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan penularan cacar monyet tiada kaitan dengan monyet dan menggesa orang ramai berhenti membunuh haiwan itu atas alasan mahu bendung jangkitan.

Menurut badan kesihatan dunia itu, peningkatan kes cacar monyet di Amerika Selatan yang turut mencatatkan beberapa kematian, menyebabkan penduduk setempat panik dan mula membunuh pelbagai spesies monyet terutama di Brazil.

Jurucakap WHO, Margaret Harris, berkata apa yang mustahak dan perlu diketahui orang awam adalah wabak itu menular antara manusia.

Justeru, tegas beliau, primat tidak boleh dipersalahkan atas lonjakan kes cacar monyet di Brazil atau mana-mana negara lain dan merayu supaya tindakan membunuh dengan menyerang atau meracun haiwan itu, yang meningkat ketara di Amerika Selatan, dihentikan segera.

Media tempatan melaporkan terdapat peningkatan serangan terhadap monyet pelbagai spesies oleh manusia menggunakan batu atau racun di beberapa bandar di Brazil.

Di kawasan rizab semula jadi di Rio do Preto, Sao Paulo, sebanyak 10 ekor monyet diracun atau dicederakan dengan sengaja dalam tempoh kurang seminggu, menurut laporan laman berita G1.

Penyelamat dan aktivis mengesyaki monyet berkenaan diracun dan diserang selepas tiga kes cacar monyet disahkan di kawasan berkenaan, lapor G1.

Secara globalnya, hampir 90 negara merekodkan lebih 29,000 kes dan 12 kematian di akibat lonjakan global jangkitan cacar monyet sejak Mei lalu, di luar wilayah barat dan tengah negara Afrika di mana penyakit itu sudah lama menjadi endemik.

Setakat ini, Brazil merekodkan lebih 1,700 kes dan satu kematian, menurut data WHO.

Harris menjelaskan, meskipun terdapat monyet dalam nama penyakit itu, haiwan berkenaan bukan pembawa utama wabak itu, malah menegaskan ia langsung tidak ada kaitan dengan penularan semasa sekarang.

Cacar monyet menerima nama itu kerana virus pada mulanya dikesan pada monyet yang disimpan untuk penyelidikan di Denmark.

Bagaimanapun, penyakit sama turut ditemui pada beberapa haiwan lain dan paling kerap pada tikus.

Walaupun virus berkenaan boleh ‘melompat’ dari haiwan kepada manusia, Harris menjelaskan, lonjakan kes global baru-baru ini disebabkan penularan berpunca daripada kontak rapat antara manusia.

“Kebimbangan sepatutnya mengenai di mana ia (merebak) dalam kalangan manusia dan apa yang penduduk di kawasan wabak boleh lakukan untuk melindungi diri mereka daripada dijangkiti dan menjangkiti,” katanya. – AFP

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat