KUSKOP lancar pelan tindakan digital koperasi

- Advertisement -

KUANTAN – Bagi mengimplementasikan perniagaan berasaskan teknologi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melancarkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030, hari ini.

Pelan jangka panjang itu mendapat kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan dan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Ewon Benedick berkata, pelan itu menggariskan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan koperasi dalam menjalankan perniagaan berasaskan teknologi.

Katanya, koperasi perlu beralih daripada menjalankan perniagaan secara konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi dalam penawaran produk dan perkhidmatan.

“Melalui teknologi canggih dan sistem perniagaan secara digital, ia berupaya membawa perubahan dalam mentransformasikan gerakan koperasi dan memberi manfaat kepada 7.3 juta ahli, melibatkan 15,315 koperasi seluruh negara.

“Mudah-mudahan dengan adanya pelan ini, lebih banyak koperasi akan kita bantu untuk mengadaptasikan teknologi dalam pengoperasian koperasi mereka.

“Di bawah SKM kita ada pembiayaan tertentu program adaptasi teknologi koperasi misalnya, di mana SKM menyalurkan dana bersesuaian kepada koperasi yang mahu mengadaptasikan teknologi dalam pengoperasian koperasi mereka,” katanya.

Beliau bercakap dalam siding media pada Majlis Pelancaran Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 di sini.

Majlis itu dilancarkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam pada itu, turut diadakan sesi penyampaian Geran Bantuan Pembangunan Koperasi kepada lima buah koperasi dengan nilai bantuan sebanyak RM665,000.

Manakala Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) turut diberikan kepada lima koperasi RM13.9 juta.

Dalam pada itu, Ewon berkata, KUSKOP akan melancarkan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) dalam tempoh terdekat.

Jelasnya lagi, DaKoM 2030 adalah kesinambungan pelaksanaan Dasar Koperasi Negara 2011-2020, yang bertindak bagi memacu sektor koperasi sebagai pemangkin kepada pembangunan sosio ekonomi.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Pahang merekodkan 1,146 koperasi dengan jumlah keahlian melebihi 302,000 orang sehingga Disember lalu.

Katanya, perolehan koperasi di Pahang pula berjumlah RM970 juta dan meletakkan Pahang sebagai negeri kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan.

“Lebih membanggakan, sebanyak 10 koperasi dari Pahang tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada tahun lalu, dengan sumbangan perolehan berjumlah RM181 juta.

“Ini jumlah membanggakan dan menunjukkan bahawa sektor koperasi negeri ini memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat