BUKIT KEPONG – Pembukaan sempadan antarabangsa terutamanya membabitkan sempadan darat antara Malaysia dan Singapura wajar mendapatkan persetujuan kedua-dua buah negara,” kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menteri Kesihatan itu menyanggah tuduhan yang dilemparkan pembangkang kononnya sempadan antarabangsa hanya akan dibuka pada 1 April apabila Barisan Nasional (BN) menang dalam PRN Johor.

“Saya nak maklumkan bahawa pembukaan sempadan darat dengan Singapura mesti dapat persetujuan bersama antara Singapura dan Malaysia.

“Kalau kita buka sempadan sendiri tak guna sebab Singapura kena buka sempadan negara mereka juga.

“Buat masa ini pihak Singapura belum lagi sedia untuk buka sempadan darat,” jelas Khairy ketika ditemui media di DUN Bukit Kepong pada Khamis.

Menteri Kesihatan itu memberitahu lagi, pada 1 April ini beliau masih perlu berunding dengan Singapura.

“Malah pada 1 April ini saya masih lagi berunding dengan Singapura.

“Jadi janganlah buat tuduhan seolah-olah kita tak buka sempadan sebab PRN Johor, yang buat tuduhan tersebut mungkin tak faham apa yang dia bercakap,” ujarnya.

Tegas Khairy, keputusan untuk buka sempadan Malaysia-Singapura terutamanya sempadan darat itu mesti dibuat bersama.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar kerajaan membuka sempadan negara sebelum 1 April sekiranya benar yakin BN bakal menang besar dalam PRN Johor.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mempersoalkan rasional kerajaan menetapkan tarikh dua minggu dari sekarang.

“Sebab itu beliau tak berani buka sempadan, umum buka 1 April. Jika beliau yakin betul (menang), apa beza 2 minggu ini? Beliau tak yakin lah tu,” bidas Anwar.

Dalam perkembangan lain, Khairy turut mengulas langkah selamat pembukaan sempadan antarabangsa pada awal bulan depan.

“Kita masih lagi ada keperluan untuk buat ujian sebelum, buat ujian semasa ketibaan di Malaysia.

“Kita dapati itulah langkah yang selamat untuk kita memastikan kita dapat kawal Covid-19 daripada pengembara,” katanya.