KULAI – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta agar seluruh jentera BN melipatgandakan usaha berkempen sebelum menghadapi hari pembuangan undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada 12 Mac ini.

Ketika di temubual Suara TV, beliau menyatakan keyakinan untuk menang pada PRN Johor kali ini dengan persiapan yang menyeluruh dilakukan oleh seluruh jentera BN.

“Kita telah mempersiapkan semua jentera kita yang hanya tinggal sehari lebih sahaja lagi harus dilipat gandakan dan saya sendiri akan bermula pada jam 2 petang ini sehingga malam nanti.

“Saya cukup yakin persiapan jentera BN telah faham tugasan yang diberikan kepada mereka lebih lebih lagi pada 12 Mac ini, pengundi telah dikenal pasti dan seterusnya memberikan perhatian pengundi di bawah jagaan masing-masing untuk memperoleh kemenangan,” katanya.

Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut meminta seluruh pengundi di negeri Johor keluar menunaikan tanggungjawab bagi membuat perubahan di negeri Johor.

“Kita juga telah menyarankan pengundi keluar seawal pagi sebab kita bimbang hujan turun lebat dan mengakibatkan ‘stuck’.

“Saya cukup yakin pengundi pengundi tempatan akan keluar lebih awal dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pengundi yang diberi kebenaran untuk memilih kerajaan baru pada 12 haribulan Mac ini,” katanya.

Terdahulu Bung yang juga Ketua UMNO Sabah mengetuai seramai 400 orang jentera parti dari Sabah membantu berkempen di empat buah DUN iaitu Tiram dan Puteri Wangsa di Parlimen Tebrau dan DUN Permas dan Johor Jaya di Parlimen Pasir Gudang.