BUKIT KEPONG – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah dikenakan kompaun atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika siri kempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Namun menurut Khairy, pegawai Najib bertindak enggan menerima kertas kompaun tersebut.

“Ada kompaun yang tak nak diterima untuk kita kompaun iaitu Datuk Seri Najib, tapi pegawai beliau tak nak terima.

“Kita (KKM) dah keluarkan lima kompaun kepada Najib tapi hanya satu sahaja yang telah diserahkan. Empat lagi pegawai Najib enggan terima,” kata Khairy ketika ditemui media di DUN Bukit Kepong pada Khamis.

Menteri Kesihatan itu memberitahu kompaun kepada Najib itu telah dikeluarkan oleh KKM pada 8 Mac.

“Lima kompaun maknanya RM5,000.

“Kita kena serah kepada dia (Najib), KKM kena pastikan dia terima kompaun. Saya telah arahkan supaya pegawai saya serahkan kompaun itu.

“Cuma pegawai dia tak nak terima, lepas ini kita kena serah kat dia,” ujar Khairy.

Untuk rekod sepanjang siri jelajah di Johor, orang ramai berkerumun menyambut kehadiran Najib dengan laungan “Bossku” secara jelasnya mereka melanggar SOP dan penjarakan fizikal.

Sementara itu, Khairy menyatakan beliau berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP kempen PRN Johor.

“Pematuhan SOP secara keseluruhannya baik dan kita telah tambah baik SOP dari semasa ke semasa, contohnya ceramah dibenarkan hingga 12 malam, penceramah tak perlu pakai pelitup muka waktu berucap.

“Semua ini langkah-langkah yang dialu-alukan oleh calon dan juga parti-parti yang bertanding dan pada masa yang sama kesihatan awam masih lagi dijaga dan dipelihara.

“Kita telah keluarkan banyak juga kompaun kepada pemimpin, parti-parti politik, penganjur yang tidak mematuhi SOP dan keseluruhannya saya nampak PRN ini berjalan dengan baik dari sudut SOP kesihatan,” kata beliau.

Selain itu, kata Khairy lagi dengan berbaki dua hari lagi tempoh kempen diharapkan jentera Barisan Nasional (BN) bekerja sehabis baik sampai habis demi memastikan kemenangan BN.

“Kita ada dua hari lagi dan bagi jentera BN kita akan bekerja sampai habis, kita tidak akan ambil mudah.

“Kita akan terus meyakinkan pengundi dalam tempoh yang ada ini dan saya harap sebagai Menteri Kesihatan pengundi akan keluar pada hari mengundi.

“Patuhi SOP mengundi yang telah ditetapkan kita akan memastikan semua pusat-pusat mengundi adalah selamat dan pengundi tidak perlu risau untuk keluar mengundi nanti.

“Pakai pelitup muka, jaga kebersihan diri dan jaga penjarakan yang munasabah di pusat-pusat mengundi,” pesan Khairy.

Ahli Parlimen Rembau itu menjangkakan dengan ramai pengundi dapat keluar beliau yakin BN akan dapat kemenangan di Johor.