Oleh Zihan Zari
KAJANG – Tidak ada formula rahsia untuk mencapai kejayaan, kecuali berusaha gigih dengan semangat juang yang tinggi dan tidak pernah mengalah.
Begitulah buat Pegawai Waran 1, Sarjan Mejar (PA) Mustafa Kamal Mohd Salleh @ Ibrahim yang bertugas di Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA) berjaya membuktikan kemampuan dirinya sehinggalah dilantik sebagai Pegawai Waran, Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA).
Lebih membanggakan beliau turut dianugerahkan ‘Beret Biru’ oleh Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Aminurrahim Mohamed sempena Majlis Penutup Latihan Tahunan PASPA: Individual Physical Test and Endurence Training 2025 di Ibu Pejabat APM (IPPA), dekat sini baru-baru ini.
Turut menyaksikan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Hj. Abdul Wahab Rahim; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM, Dato’ Ismail Mohd Zawawi; Pengarah Bahagian Pengurusan IPPA, Ts. Dr. Mohamad Fazli Sardi; Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan IPPA,
Kol. (PA) Fazlisyah Muslim; dan Timbalan Komandan ALPHA, Lt. Kol. (PA) Roydee Abdul Rahman.
Mustafa Kamal dilahirkan pada 24 Ogos 1962, berasal dari Melaka berkelulusan dari Institut Kemahiran MARA (IKM) seterusnya berkhidmat dengan Tentera Udara Malaysia (TUDM) dan menjalani latihan rekrut di Sekolah Tentera Udara (STU), Ipoh pada 1981.
Figura ini, bukan calang-calang orangnya, berperwatakan tegas
mempunyai pengalaman luas dalam bidang ketenteraan, pernah bertugas dalam Pasukan Pertahanan Darat Tentera Udara (HANDAU) dan Pasukan Khas TUDM (PASKAU) di Rejimen TUDM Jugra.
Sememangnya Mustafa Kamal memiliki kemahiran dalam teknik seperti
penyusupan khas (MPRT), terjun pajung (free fall), tempur jarak dekat (IPAC), mencari dan menyelamat, tempur tanpa senjata, selam tempur serta kawalan rapat.
Selepas 22 tahun bersama TUDM dan menabur bakti untuk negara beliau bersara pada 2002 dengan menyandang pangkat Pegawai Waran ketika berkhidmat di Kolej Tentera Udara (KTU) Alor Setar.
Mustafa Kamal terus kental kemudiannya menyertai Jabatan Pertahanan Awam – JPAM@JPA 3 (sekarang APM) pada 7 Mac 2004.
Beliau pernah bertugas dalam Skuad Penyelamat Integrasi (SPI) di bawah Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka sebagai pemandu ambulan dan rawatan kes kemalangan.
Seterusnya menjadi jurulatih jemputan di Pusat Latihan Pertahanan Awam; jurulatih kursus skim KP Siri 2, Siri 15; jurulatih PASPA siri 1 tahun 2008 hingga siri 5 tahun 2024 dan
melatih seramai 161 orang pegawai dan anggota PASPA serta jurulatih PASKAU dan PASPA.
Selain itu, beliau menjadi jurulatih untuk peserta kursus Pegawai Bersekutu; Pegawai Pasukan; Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT); dan badan beruniform.
Beliau turut terlibat sebagai urusetia latihan; operasi banjir; menyertai perbarisan peringkat negeri, kebangsaan, Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA); pentauliahan pegawai tetap; pentauliahan Kor SISPA; Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA); pegawai bersekutu; dan pegawai pasukan.
Mustafa Kamal menegaskan aspek latihan merupakan tonggak utama perlu diberi perhatian dalam memastikan seseorang itu menjadi anggota APM terlatih dan berdisiplin.
Dengan pelantikan ini beliau akan bertanggungjawab secara terus kepada Unit Pasukan Khas Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi (BPBO) IPPA sebagai penasihat dalam aspek yang melibatkan hal ehwal anggota lain-lain pangkat khasnya PASPA.
“Alhamdulillah, saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana menerima anugerah ini. Ianya menjadi pemangkin untuk saya terus komited dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan, ”katanya.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi yang meyakini dan memberi kepercayaan kepada saya dalam menggalas tugas sebagai Pegawai Waran PASPA.
“Saya akan memberi sokongan penuh serta membantu menjayakan setiap latihan dan operasi yang akan dilaksanakan bagi mematapkan setiap anggota pasukan elit ini dalam keadaan mental dan fizikal yang terbaik.
“Selain itu, memelihara displin yang tinggi dan siap siaga untuk digerakkan apabila berlakunya bencana, ”katanya lagi kepada SUARA.TV
Dalam pada itu, Pegawai Cawangan Perhubungan Awam & Dokumentasi APM, Kapten Bersekutu (PA) Abdul Muiz Mior Ahmad berkata, pelantikan Mustafa Kamal sebagai Pegawai Waran PASPA berasaskan penilaian terhadap ciri-ciri kepimpinan serta pengalamannya yang meluas khususnya dalam aspek latihan dan kepakaran kemahiran.
PASPA ditubuhkan secara rasmi pada 15 Ogos 2008, merupakan pasukan khas APM yang diiktiraf oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk berada di zon merah lokasi bencana besar atau pun kecemasan.
Bukan mudah untuk menjadi anggota pasukan elit itu walaupun dapat melepasi segala ujian atau latihan untuk diserapkan ke unit khas terbabit.
Sebelum layak digelar sebagai anggota PASPA perlulah mempunyai tahap mental dan fizikal yang tinggi, bukan sahaja sihat, mestilah berstamina, cergas, semangat juang besar serta melepasi individual physical and endurance test serta adversity test .
Selain itu, mereka perlulah melalui liku-liku yang sukar seperti melalui pelbagai cabang latihan, kursus kemahiran, dan berkepakaran untuk melengkapkan diri sebagai anggota pasukan elit itu.
Selepas itu, baharulah secara rasminya mereka akan dianugerahkan ‘Beret Biru’ sebagai simbol kemahiran bagi melaksanakan tugas mencari dan menyelamat secara sistematik, kemas serta teratur.-SUARA.TV