Banjir Bukan Sahaja Ujian, Malah Bawa Hikmah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Di sebalik musibah banjir melanda beberapa negeri di Semenanjung ketika ini, ada hikmah yang mampu memberi kelegaan kepada mangsa terjejas.

Kunjungan beberapa pemimpin negara bagi melihat sendiri situasi tersebut dengan menyantuni mangsa walaupun negara ketika ini berdepan keadaan membimbangkan susulan penularan pandemik COVID-19, mencerminkan keprihatinan terhadap mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof hari ini mengumumkan kerajaan sedang merangka pelan tindakan pascabanjir bagi membantu membaik pulih kediaman penduduk yang terjejas akibat bencana itu.

Sementara itu, misi menghantar bantuan banjir oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah di sekitar Kuantan, Pahang juga memberi kejutan kepada keluarga kanak-kanak penghidap sakit jantung, Muhammad Faqish Aryan Khairy Aswan, apabila konvoi itu berhenti berhampiran rumahnya.

Saifuddin apabila dimaklumkan bahawa Muhammad Faqish Aryan, enam tahun, yang dikesan menghidap penyakit jantung berlubang pada usia tiga bulan perlu ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani pemeriksaan 14 Jan ini, terus memberitahu akan membantu menguruskan perjalanan mereka ke sana.

Selain itu, agensi perbankan seperti Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Bank Simpanan Nasional turut menawarkan penangguhan bayaran ansuran pembiayaan selama enam bulan kepada mangsa banjir.

Bagi melancarkan operasi pengurusan mangsa, Angkatan Tentera Malaysia menempatkan kira-kira 4,900 anggota dan 1,015 pelbagai aset selain penyertaan 15,000 kakitangan serta alumni di bawah Misi Sukarelawan Pascabanjir Universiti Teknologi Mara.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat menghulurkan sumbangan untuk menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana bagi menyelaraskan bantuan tersebut.

Sehingga pukul 7 malam tadi, situasi banjir di kebanyakan negeri yang terjejas menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di PERAK, hanya 93 mangsa berada di dua PPS iaitu di daerah Hilir Perak dan Hulu Perak.

Situasi sama juga dilapor di JOHOR, dengan hanya 479 mangsa daripada 218 keluarga di tiga daerah iaitu Mersing, Segamat dan Kota Tinggi.

Sementara di KELANTAN, tiga PPS iaitu di Kota Bharu, Gua Musang dan Kuala Krai ditutup sepenuhnya apabila situasi semakin pulih, dengan 3,096 mangsa dilapor berada di 36 PPS yang masih dibuka.

Bagaimanapun, di TERENGGANU, keadaan banjir tidak banyak berubah dengan 10,055 mangsa berada di 49 PPS, manakala di PAHANG, 26,574 mangsa berada di 285 PPS melibatkan sembilan daerah

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat