KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meneliti keperluan memanggil Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan syarikat pengendali hospital swasta berhubung isu kenaikan kadar premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus.
Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, banyak perkara perlu diteliti termasuk Terma Rujukan (TOR) sebelum memutuskan untuk mengadakan prosiding terhadap pihak berkenaan.
“PAC ada berbincang untuk mendalami isu ini. Saya tidak menolak kemungkinan untuk kita bawa tetapi saya minta untuk pasukan PAC tentukan apakah TOR yang boleh kita lakukan.
“Mungkin kita bawa isu ini dalam perbincangan ini minggu terakhir, prosiding terakhir untuk PAC. Kita akan bincang dan kalau semua (anggota PAC) bersetuju, kita akan bawakan pada tahun depan.
“Kita ada banyak isu dibincang dan ia antara yang diminta untuk kita lihat tetapi pada waktu itu kita tidak ada keputusan.
“Melalui TOR, baru kita nampak jelas (isu berbangkit), kemudian baru kita bawa,” lapor BH pada Isnin.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, yang juga ahli PAC memaklumkan akan berbincang untuk mengesyorkan tindakan selanjutnya susulan kenaikan kadar premium insurans perubatan baru-baru ini antara 40 hingga 70 peratus.
Beliau memaklumkan menerima aduan rakyat negara ini yang pernah menulis kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menghentikan kenaikan premium insurans.
Bagaimanapun, katanya, BNM memaklumkan beliau tidak berhak campur tangan kerana setiap perjanjian insurans mempunyai klausa yang membenarkan perubahan dilakukan.
Memetik laporan 5 Disember lalu, LIAM berkata, pihaknya sedang berbincang dengan BNM mengenai langkah boleh diambil untuk meringankan beban pemegang polisi susulan peningkatan dalam tuntutan yang tidak pernah berlaku sejak beberapa tahun lalu.