Hans berhenti berlakon, buka pawagam di luar bandar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas suku abad bergelar aktor, penerbit dan pengarah terkenal, Dato Hans Isaac mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan.

Menafikan keputusan didorong rasa kecewa dengan industri seni atau kerenah birokrasi, Hans atau nama sebenar, Gerald Hans Isaac, 50, menjelaskan fokusnya lebih kepada membantu orang ramai termasuk penggiat seni melalui bidang perniagaan.

“Selepas 25 tahun dalam bidang ini, rasanya sudah tiba masanya untuk saya bersara.

“Saya sudah tidak mahu lagi berlakon drama atau filem. Syarikat produksi, Tall Order Productions sudah dijual. Saya sekarang hanya bertindak sebagai perunding.

“Sepanjang tempoh itu, saya sudah melalui pelbagai pengalaman. Menang anugerah terbaik dan popular serta jatuh bangun dalam industri… Semua itu sudah saya lalui.

“Takkan saya hendak berlakon sampai mati. Saya tidak mahu mati sebagai pelakon atau nyawa saya berakhir dengan gelaran pelakon,” katanya kepada BH Online.

Hans berkata, jangan salah erti dengan kenyataannya itu, sebaliknya tiada salah bergelar pelakon hingga ke akhir hayat.

“Saya hormati mereka yang berpendirian begitu.

“Saya cuma mahu meninggalkan legasi sebagai individu yang mampu memberi manfaat kepada industri hiburan yang saya ceburi dan kepada orang ramai,” katanya.

Biarpun nekad mengundurkan diri dari dunia hiburan, ia tidak bermakna Hans mahu melupakan bidang seni.

“Saya akan terus sokong industri seni. Mungkin sekali sekala naik pentas bersama rakan baik seperti Datuk Awie dan Datuk Afdlin Shauki untuk ketawa, beriadah dan berseronok,” katanya.

Hans bersama Saiful Apek ketika mengendalikan program bual bicara, Lawak Ke Der Tak Coverline. - Foto IG Hans Isaac
Hans bersama Saiful Apek ketika mengendalikan program bual bicara, Lawak Ke Der Tak Coverline. – Foto IG Hans Isaac

Memperincikan perancangan masa depan, Hans berkata, dia sedang membuka rangkaian pawagam di bawah jenama 10Star Cinemas.

“Kalau berlakon dan menang anugerah, itu hanyalah bersifat individu. Saya sudah tidak mahu lagi begitu.

“Apabila saya mengusahakan bisnes pawagam, secara tidak langsung saya dapat membantu rakan seperjuangan sama ada di depan atau di belakang tabir untuk bernafas.

“Disebabkan itu, pawagam saya hanya dibuka di luar bandar iaitu tempat yang tiada pawagam atau premis hiburan lain.

“Inisiatif saya ini bukan sahaja dapat membantu rakan industri, malah kepada orang ramai melalui peluang pekerjaan,” katanya.

Hans berkata, sebagai permulaan, dia sudah membuka dua cawangan 10Star Cinemas di Sabah.

“Tahun depan ada banyak lagi rangkaian pawagam yang akan dibuka,” katanya yang mula berlakon di bawah arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba.

Ditanya apakah keputusan berhenti berlakon ada kaitan dengan hasrat menceburi bidang politik, Hans tidak menolak kemungkinan itu.

Namun, katanya, langkah menceburi dunia politik hanya diambil jika mendapat mandat dan persetujuan orang ramai.

“Sama ada saya mahu ceburi politik atau tidak, saya serahkan keputusan itu kepada orang ramai. Jika mereka rasa saya perlu, saya akur.

“Saya tidak mahu masuk politik sebab syok sendiri. Seperti yang saya tegaskan tadi, saya hanya mahu menjadi individu yang mampu memberi manfaat kepada ramai orang.

“Hendak bantu orang, tidak semestinya kena ceburi politik atau perlu ada jawatan,” katanya.

Sepanjang pembabitannya dalam bidang seni, Hans pernah mengarahkan teater muzikal iaitu Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal, Supermokh Sebuah Muzikal, Baik Punya Cilok dan Lawak Ke Der 1, 2, 3, 4 dan 5.

Aktor berbakat besar ini pernah dilantik Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada 2019 sebelum melepaskan jawatan itu, setahun kemudian.

Berita Harian
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat