Cedok pengalaman luar biasa

- Advertisement -

HASRAT penyanyi Indonesia, Afgan untuk kembali menghirup udara serta pemandangan destinasi menarik akhirnya tercapai selepas menyertai program bertajuk AXN Ultimate Challenge terbitan AXN Asia.

Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, 32, berkata, dia bersyukur dapat makan angin semula selepas lama terkurung dek pandemik Covid-19.

Justeru, tawaran menyertai program terbabit enggan dilepaskan.

Menurut penyanyi Bukan Cinta Biasa itu, keputusannya cukup tepat kerana pengalaman diperoleh begitu luar biasa. Lebih seronok, dia turut bergandingan dengan rakan-rakan artis rapatnya.

“Saya memang tahu mengenai program itu kerana pernah dibuat di Dubai serta beberapa negara lain. Maka, apabila mendapat tawaran itu, saya sangat teruja kerana sudah hampir setahun berkurung dalam rumah di Jakarta.

“Saya benar-benar ingin mencari angin baharu dan cuba program pengembaraan serta pengalaman meneroka pelbagai destinasi. Saya nak sangat keluar dan syukur saya berbuat demikian kerana pengalamannya luar biasa.

“Bukan mudah, tapi ia sangat berbaloi dan dapat alaminya bersama rakan-rakan karib iaitu Isyana, Reza dan Rara. Keseluruhan perjalanan sangat seronok dan itu yang membuatkan saya teruja menyertai pengembaraan itu,” katanya.

Afgan berkata, hari pertama penggambaran program terbabit adalah kenangan paling tidak dapat dilupakan. Dia mengakui cabaran fizikal yang dilalui mereka agak memenatkan.

“Sukar nak lupa kerana tempoh perjalanan sangat lama dan kami melawat pelbagai tempat. Untuk sampai ke sana, kami perlu mendaki, naik bot dan sangat mencabar.

“Hari pertama, kami ke Pulau Padar ketika matahari terik atas kepala, mendaki bukit dan buat penggambaran di puncak. Kemudian kami perlu bergegas ke Gua Rangko yang agak jauh dan apabila sampai, hari sudah gelap,” katanya.

Menurutnya, bukan semua perancangan yang dibuat berjalan lancar. Produksi juga memerlukan masa untuk melakukan persiapan bagi mendapatkan ‘shot’ terbaik.

 

AKUI hari pertama paling mencabar fizikal dan mentalnya.
AKUI hari pertama paling mencabar fizikal dan mentalnya.

 

“Sepatutnya kami perlu buat rakaman di gua itu pada waktu tengah hari. Namun, hari sudah gelap dan sangat panas dalam gua itu. Produksi kena siapkan lampu cepat-cepat untuk pencahayaan.

“Ia memang tidak semudah yang saya sangkakan. Bagaimanapun, pengalaman itu menjadi lebih mudah dan mudah pada hari seterusnya,” katanya.

Antara faktor lain yang menyebabkan Afgan teruja mengenai program itu adalah dia dapat menunjukkan sisi diri sebenarnya. Dia akui tidak kisah pun dengan segala aksi kandid yang dirakam dan ditayangkan.

“Rata-rata peminat cuma dapat menonton saya atas pentas dan muzik video. Mereka tidak kenal saya secara kandid bagaimana dan kami memang nak sangat tunjuk sisi itu dalam program terbabit.

“Memang banyak sangat aksi kandid di sana dan peminat akan dapat mengenali saya lebih dekat. Dan ini juga kali pertama saya jayakan program sebegini yang mendedahkan sisi lain serta lebih peribadi,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan karier muziknya, Afgan kini mencari peluang untuk melakukan siri jelajah kecil di Amerika Syarikat (AS). Apalagi dia kini berazam lebarkan sayap di pentas global selepas menyertai syarikat rakaman Empire di sana.

“Saya baharu pulang dari AS dan banyak hasilkan lagu ketika di sana. Saya sangat teruja dengan peluang itu dan merancang dapat kembali ke sana semula.

“Saya harap dapat buat persembahan kecil-kecilan serta membina komuniti di AS sehingga berkembang lebih besar. Itu pelan saya dan mahu terus fokus buat lagu Inggeris serta jalin kerjasama (dengan artis lain) pada masa hadapan,” katanya.

AXN Ultimate Challenge diterbitkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia (MOTCE) dan KC Global Media. Ia bersiaran setiap Khamis, jam 7:30 malam menerusi saluran AXN Asia.

Ia juga boleh diikuti menerusi penstriman ke seluruh dunia di saluran YouTube rasmi AXN bermula Sabtu, 27 November lalu.

Dihoskan oleh Richard Kyle selain Afgan, turut membintanginya adalah Isyana Sarasvati, Reza Chandika dan Rara Sekar. Afgan bergandingan dengan Reza dalam satu pasukan.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat