Tiada idea baru, Afif sedia bertanding di Shah Alam, Permatang Pauh

- Advertisement -

CYBERJAYA- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin menyatakan hasrat untuk bertanding di Parlimen Shah Alam atau Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Menurut Afif, beliau memilih dua kawasan itu selepas merasakan tiada idea baru serta pembaharuan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad atau Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Katanya, selaku anak jati Selangor dan membesar di Shah Alam, beliau berpendapat sudah tiba masanya untuk berbakti di “kampung halamannya”, lapor Utusan Malaysia.

“Memang saya sudah lama meletakkan niat untuk kembali ke Shah Alam, kerana tidak adil pada saya jika berkhidmat di Pulau Pinang, tetapi saya tidak datang menabur bakti di kampung halaman saya.

“Sebab itu apabila saya bersama Bersatu, saya terus daftar sebagai ahli Bersatu Shah Alam dan saya Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam,” kata Afif.

Pada 2013, Afif menjadi calon pertama merampas kerusi DUN Seberang Jaya daripada BN. Ia adalah sebahagian daripada kawasan parlimen Permatang Pauh – kubu kuat keluarga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, Afif, 37, berkata kepimpinan Bersatu telah dimaklumkan mengenai hasratnya untuk mempertahankan kerusi DUN Seberang Jaya dan bagi kerusi Parlimen, beliau berhasrat diletakkan sama ada di Shah Alam atau Permatang Pauh.

Afif mendakwa, Khalid selaku penyandang kerusi Shah Alam, tidak mempunyai idea baru dan sepatutnya memberi laluan kepada muka baru.

“Saya tahu beliau (Khalid) dah berapa penggal di situ, bahkan saya juga pernah me­ngundi beliau pun, tetapi saya nampak dia tak bawa idea baharu ke Shah Alam, saya lihat mungkin dengan adanya saya di situ kalau diamanahkan PN untuk bertanding, dipilih rak­yat di Shah Alam, saya nak lihat beberapa perkara termasuk sekolah yang terpinggir, kurang prestasinya.

“Mungkin sudah tiba masa menawarkan muka baru di Shah Alam untuk bawa idea baru,” jelasnya.

Selain itu, Afif juga mendakwa Nurul Izzah tidak komited terhadap pengundinya.

Perkara itu, katanya, telah lama berlaku sejak beliau bersama PKR lagi.

“Di Permatang Pauh pula, majoriti Melayu yang berjaya, berpendidikan, saya tak nampak idea baru dibawa oleh Nurul Izzah.

“Bahkan ketika saya masih dalam PKR, sukar saya dapatkan komitmen beliau turun ke padang bersama masyarakat di Permatang Pauh,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat