Pengundi muda tak minat politik, tak kenal Anwar Ibrahim- Penganalisis 

- Advertisement -

CYBERJAYA- Jumlah pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dijangka meningkat lebih daripada 50 peratus selepas Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan yang menurunkan had umur mengundi daripada umur 21 ke 18 tahun diluluskan.

Bukan itu sahaja, RUU yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 2019 itu turut meliputi pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada umur 18 tahun.

Dengan RUU Pindaan 2019 itu, ia sekaligus menjadikan golongan muda seawal 18 tahun sebagai antara golongan penentu kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, timbul persoalan adakah anak muda benar-benar bersedia untuk terlibat dengan politik dan sekaligus membawa kemenangan pada parti-parti yang bertanding?

Menurut Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar, berdasarkan kajian yang dilakukan terutamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini, golongan seawal usia 18 tahun tidak mempunyai kematangan yang cukup serta merasakan tidak perlu menunaikan hak mereka sebagai pengundi.

Katanya, ketika pihaknya membuat kajian lapangan dan bertemu dengan kumpulan muda, rata-rata mereka tidak mengikuti perkembangan politik malah, ada yang menyatakan rasa tidak minat untuk ambil tahu tentang politik.

“Boleh dikatakan sebahagian besar kumpulan ini yang ditemui dalam kajian lapangan menyatakan mereka tidak mengikuti perkembangan politik yang berlaku. Bahkan mereka tidak menyatakan minat untuk mengikutinya.

“Berdasarkan pengakuan ini, kami tidak menolak kewujudan undi rosak yang tinggi disumbangkan oleh kumpulan ini,” katanya kepada Suara.TV.

Selain itu, Hisomuddin yang turut merupakan pengasas Ilham Centre, iaitu sebuah badan pemikir yang melakukan analisis dan kajian ke atas dasar awam serta isu politik itu berkata, secara umumnya kumpulan anak muda tidak mengenali pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana, berdasarkan dapatannya, Anwar bukanlah tokoh yang dikenali kerana generasi tersebut bukan datang dari era reformasi.

“Secara umumnya, kumpulan anak muda ini tidak mengenali pemimpin PH termasuk Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim bukanlah tokoh yang dikenali kerana generasi ini tidak sempat dengan era reformasi.

“Yang ada ialah imej (Presiden MUDA) Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) dan parti MUDA,” jelasnya.

Berdasarkan laporan terkini daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas ialah seramai 5.6 juta orang dan 1.2 juta daripadanya berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Pada PRU-14 2018 yang lalu, SPR merekodkan sebanyak 14.9 juta pengundi yang layak untuk memilih, dan dari jumlah itu SPR menjangkakan jumlah ini akan meningkat menjelang PRU-15 iaitu sekitar 22.7 juta orang pemilih.

Sehubungan itu, Hisomuddin menjelaskan lagi, pihak yang akan mendapat kelebihan daripada golongan muda ialah mereka yang agresif, kreatif dan berjaya menyampaikan maklumat dengan tepat serta berjaya mengubah pendirian kumpulan tersebut.

Sehingga kini, jelasnya, pandangan pengundi muda terhadap PH juga berbeza-beza mengikut lokaliti dan geografi.

“Setakat kajian yang dilakukan, sokongan anak muda kepada PH tidak sekata. Segmen anak muda bandar dan separa bandar yang terdedah dengan maklumat media sosial mungkin lebih cenderung kepada PH, tetapi ia bukan satu jaminan.

“Dengan pertembungan rencam dalam media sosial, ia juga boleh membingungkan. Mana-mana pihak yang agresif, kreatif dan berjaya menyampaikan maklumat dengan tepat dan berjaya mengubah pendirian, itu yang diperlukan sekarang.

“Setakat ini, pola sokongan kumpulan anak muda ini tidak boleh dikatakan majoriti memihak kepada PH. Perlu dilihat secara mikro seperti latar belakang kaum, lokaliti, pendidikan yang akan mempengaruhi sokongan kepada PH dan juga parti lain,” ujar penganalisis politik itu.

Menjelaskan lagi perkara tersebut, Hisomuddin memberitahu, anak muda yang berusia 18 tahun dan ke atas cenderung untuk mengikuti tradisi politik keluarga.

Namun, perkara itu berbeza antara anak muda di bandar serta luar bandar.

“Anak muda yang berada di kawasan pedalaman, biasa kumpulan ini masih terikat dengan tradisi politik berdasarkan pilihan keluarga. Ketua keluarga biasanya akan menentukan pilihan politik anak-anak mereka.

“Berbeza pula pola anak muda di bandar. Oleh kerana sibuk mencari rezeki dalam keadaan ekonomi yang suram, pandangan kumpulan ini dari sudut politik biasanya agak anti-establishment,” katanya.

Meskipun undi golongan muda menjadi segmen rebutan dan tumpuan selepas RUU dipinda, namun tiada mana-mana parti yang boleh mendakwa mereka berjaya mendapat sokongan besar daripada kumpulan itu.

Justeru, parti-parti politik perlu mencari formula untuk menarik pengundi baru ini terutamanya PH yang banyak kehilangan undi berikutan pertandingan pelbagai penjuru pada dua PRN sebelum ini, katanya.

“PH perlu mencari formula bagaimana menggantikan peratusan yang hilang (pada dua PRN sebelum ini) dari kalangan pengundi baru (undi automatik dan undi 18 hingga 20 tahun).

“Sekiranya segmen undi baru ini mengalih sokongan mereka secara en bloc, itu mungkin satu keajaiban yang akan memihak kepada PH untuk mengatasi gabungan BN dan PN bagi membentuk kerajaan kelak,” katanya lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat