Tiada kompromi soal SOP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Memulakan kerja penggambaran drama Keluarga Untuk Disewa di Besut, Terengganu, semalam, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin enggan berkompromi soal prosedur operasi standard (SOP) yang mewajibkan semua petugas termasuk artis dan kru lengkap dua dos vaksin COVID-19.

Berpegang janji mahu memastikan persekitaran selamat, Raja Mukhriz terpaksa melepaskan kru yang belum lengkap vaksinasi kerana enggan membahayakan pelakon dan kru lain.

Raja Mukhriz enggan bertolak ansur biarpun ada di antara kru sudah mendapatkan dos pertama dan masih menantikan tarikh suntikan kedua.

Selain itu, set penggambaran dikawal bagi mengelak orang awam memasukinya.

“Apabila kerajaan memberikan kelonggaran untuk aktiviti penggambaran disambung, kami mengambil langkah menjadikan lokasi ini sebagai sebuah studio.

“Kami lakukan kuarantin dengan melarang orang awam menghampiri lokasi ini.

“Hanya mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin serta sudah menjalani ujian calitan dibenarkan masuk ke dalam set drama ini.

“Selain itu, kami beritahu balai polis berdekatan mengenai aktiviti penggambaran dijalankan bagi mengelak timbul masalah.

“Zaman sekarang, orang awam gemar merakam apa sahaja yang mereka nampak. Jadi, sebelum wujudnya masalah pada kemudian hari, lebih baik kami maklumkan kepada polis,” katanya kepada BH Online.

Raja Mukhriz berkata, pihaknya tidak berdepan masalah untuk mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana sudah dipraktikkan sebelum Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan.

“SOP ditetapkan sebelum ini sudah cukup ketat. Lagipun, tiada penambahan SOP baharu, jadi kami tiada masalah untuk mematuhinya.

“Peraturan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka dipatuhi seperti dahulu,” katanya.

 

Berpegang janji memastikan persekitaran selamat, Raja Mukhriz terpaksa melepaskan kru yang belum lengkap vaksinasi kerana enggan membahayakan pelakon dan kru lain. - Foto IG Raja Mukhriz
Berpegang janji memastikan persekitaran selamat, Raja Mukhriz terpaksa melepaskan kru yang belum lengkap vaksinasi kerana enggan membahayakan pelakon dan kru lain. – Foto IG Raja Mukhriz

 

Mengenai penggambaran drama Keluarga Untuk Disewa, Raja Mukhriz berkata, mereka terpaksa menukar lokasi ke Terengganu kerana negeri itu sudah memasuki Fasa Dua PPN.

Tambahnya, drama lakonan Pekin Ibrahim, Adibah Noor dan Dynas Mokhtar itu sepatutnya diadakan di Melaka.

Namun, isterinya, Sharifah Shahora yang bertindak sebagai penerbit, membuat keputusan agar lokasi penggambaran ditukar ke Terengganu berikutan Melaka masih di bawah Fasa Satu PPN.

“Ketika membuat keputusan bertukar lokasi ke Terengganu, kami belum tahu kerajaan akan memberikan kelonggaran untuk aktiviti penggambaran di bawah Fasa Satu PPN.

“Sharifah Sahora bimbang andai pelaksanaan Fasa Satu PPN di Melaka berlanjutan, jadi, kami putuskan bertukar lokasi.

“Sebenarnya, 50 peratus penggambaran di Melaka sudah siap. Kami tidak risau mengenai kesinambungan drama walaupun lokasi sudah bertukar,” katanya.

Raja Mukhriz berkata, kebenaran kepada penggiat industri kreatif kembali bekerja dengan kelonggaran SOP Fasa Satu PPN cukup melegakan.

“Saya amat berterima kasih kepada FINAS kerana tanpa bantuan mereka, mungkin sehingga kini, penggiat seni masih tidak dapat bekerja.

“Jika kita lihat, apa sahaja SOP diwajibkan ke atas produksi semuanya adalah hasil perbincangan FINAS dengan warga industri.

“Saya menjadi antara ahli panel yang terbabit merangka SOP Fasa Satu PPN yang diumumkan itu. SOP dirangka benar-benar ketat.

“Sehingga kini, tiada kluster yang wujud dalam kalangan penggiat seni. Kami pun tidak mahu menjejaskan periuk nasi sendiri,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat