Industri kreatif aktif semula

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas 18 bulan diuji impak penularan pandemik COVID-19 hingga menjejaskan periuk nasi, industri kreatif ‘bernafas’ semula berikutan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk sektor itu, berkuat kuasa hari ini.

Keperitan lebih sejuta penggiat seni yang majoritinya pekerja bebas atau mengikut konsep ‘ada kerja, ada gaji’, berakhir apabila mereka terutama yang bermastautin di lokasi Fasa Satu PPN di Kuala Lumpur dan Selangor serta sudah mendapat dua dos suntikan vaksin COVID-19, dapat kembali mencari rezeki.

Menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kelonggaran SOP untuk industri kreatif, ada syarikat penerbitan bagaimanapun lebih selesa menunggu penjelasan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan perincian SOP daripada agensi itu.

Sutradara, Mamat Khalid yang mengusahakan syarikat produksi, Enjit Enjit Semut, bersyukur projek drama 15 episod, Dongeng Rakyat Malaysia dapat diteruskan dengan kelulusan kerajaan itu.

“Perancangan projek ini sudah lama. Setakat ini, kerja pra produksi sudah kira-kira 20 peratus siap. Kita belum dapat memutuskan bila penggambaran bermula.

“Selama ini, kita tertunggu tunggu ‘lampu hijau’ bila boleh ‘shoot’. Namun, apabila sudah diberi kelonggaran, kita bukan boleh serta-merta buat kerja,” katanya.

Mamat juga berharap pembukaan semula pawagam kepada pelanggan yang sudah melengkapkan vaksinasi dengan kapasati 50 peratus penonton dapat menjadi isyarat bagi pembikin filem terus berkarya.

“Kita patut bersyukur. Kebenaran untuk pawagam dibuka atas kapasati 50 peratus penonton adalah lebih baik daripada 30 peratus.

“Diharapkan ini menjadi isyarat untuk penerbit dan pembikin filem dan penerbit menyemarakkan kerja pembikinan filem,” katanya yang berharap teman seperjuangan menjaga SOP sebaik memulakan kerja di lapangan.

 

Mamat bersyukur projek drama 15 episod, Dongeng Rakyat Malaysia dapat diteruskan dengan kelulusan kerajaan itu.
Mamat bersyukur projek drama 15 episod, Dongeng Rakyat Malaysia dapat diteruskan dengan kelulusan kerajaan itu.

 

Sementara itu, sutradara dan penerbit, Erma Fatima mahu meneruskan penggambaran program realiti berkonsepkan keusahawanan, Zero To Hero secara virtual.

“Objektif program ini adalah untuk membantu penganggur dan asnaf mendapatkan pekerjaan.

“Dalam situasi sekarang, saya fikir langkah menerbitkan program ini tepat pada waktunya. Saya mahu teruskan penggambaran secara virtual saja buat sementara waktu.

“Kita menunggu waktu sesuai untuk beralih kerja penggambaran ke studio selepas ini,” katanya sambil menambah program 13 episod itu bakal disiarkan TV3.

Erma menyambut baik kelonggaran SOP diberi kepada industri kreatif.

“Warga industri seni hanya dua peratus daripada tenaga kerja. Di lokasi penggambaran, kru dan pelakon tidak lebih 30 orang atau 40 orang.

“Anak seni sudah lama tertekan akibat tidak boleh ‘shooting’. Saya harap pelepasan ini tidak disalah tafsir atau diubah suai pihak tertentu untuk kepentingan sendiri.

“SOP ditetapkan kena konkrit dan tidak boleh berubah sesuka hati hingga wujud syarat tidak masuk akal,” katanya.

 

Erma mahu meneruskan penggambaran program realiti berkonsepkan keusahawanan, Zero To Hero secara virtual.
Erma mahu meneruskan penggambaran program realiti berkonsepkan keusahawanan, Zero To Hero secara virtual.

 

Sementara itu, penerbit dan pengarah, Fadzil Teh merancang memulakan kerja penggambaran pada 15 September depan selepas mendapat penjelasan lanjut FINAS.

“Kami masih menunggu kelulusan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) dari FINAS. Pada mulanya, banyak lokasi penggambaran dirancang di Perlis dan Terengganu.

“Namun, dengan kelonggaran ini, kita buat rombakan dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai antara lokasi penggambaran,” katanya yang menyambung penggambaran telefilem Survivor dan dua drama iaitu Rindu Daruliman dan Kerana Dia Suka.

Fadzil berharap penggiat seni yang dibenarkan kembali bekerja patuh SOP dan tidak menimbulkan masalah kepada syarikat produksi.

Pemilik Pena Creative, Datuk Ziela Jalil bagaimanapun belum sedia memulakan projek penggambaran.

“Jika diikutkan, syarikat produksi saya sudah ada komitmen menerbitkan drama sejak 2019. Tetapi hingga sekarang, kita belum memulakan penggambaran kerana pandemik.

“Saya masih cuak dan tidak berani keluar bekerja. Saya tidak berani ambil risiko. Saya tangguh urusan menerbitkan drama… Tunggulah apabila kes jangkitan COVID-19 menurun,” katanya.

 

Ziela belum sedia memulakan projek penggambaran, tunggu kes jangkitan COVID-19 menurun.
Ziela belum sedia memulakan projek penggambaran, tunggu kes jangkitan COVID-19 menurun.

 

Ziela turut menasihatkan rakan artis dan kru yang kembali bekerja mematuhi SOP setiap masa selain menekankan kepentingan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Jangan penting diri kerana kerja kita membabitkan ramai orang. Jika ada vaksin, sekurang-kurangnya ada perlindungan biarpun bukan jaminan.

“Selebihnya, jaga SOP. Kita kena hidup dengan virus ini. Hendak tunggu betul-betul hilang, tidak tahu bila… Berdoa dan bertawakal,” katanya.

Kelmarin, kerajaan bersetuju melonggarkan SOP Fasa Satu PPN bagi industri kreatif, mulai hari ini.

Keputusan dibuat berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19, minggu lalu, memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja, dengan tertakluk kepada SOP digariskan termasuk lengkap vaksinasi.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, kelonggaran itu bakal memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif.

Kelonggaran SOP untuk industri kreatif memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan dan lebih sejuta pekerja seni.

Antara kebenaran diberi adalah penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton sudah lengkap vaksinasi serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio.

Penggambaran industri kreatif di dalam dan luar studio kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi.

Aktiviti panggung wayang kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat