Malaysia capai guna tenaga penuh, pengangguran di bawah 4 peratus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran pada bulan Jun menurun kepada 3.8 peratus, iaitu yang terendah sejak pandemik COVID-19 melanda negara dengan bilangan penganggur berkurang kepada 630.6 ribu orang berbanding 637.7 ribu orang (3.9 peratus) pada bulan Mei 2022.

“Negara telah mencapai guna tenaga penuh sejak bulan April 2022 iaitu kadar pengangguran di bawah 4 peratus berdasarkan definisi yang ditetapkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD),” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kenyataan media hari ini.

“Penurunan ini menunjukkan momentum pemulihan keseluruhan hasil pelaksanaan inisiatif-inisiatif Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seperti program JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) dan pewujudan Portal Pekerjaan Negara, MyFutureJobs,” kata Mustapa.

Berdasarkan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Jun 2022 yang diterbitkan oleh Jabatan
Perangkaan Malaysia pada hari ini, bilangan penduduk bekerja meningkat pada Jun 2022 ialah 15.94 juta orang berbanding 15.90 juta orang. Ini merupakan peningkatan sebanyak 0.2 peratus.

Bilangan penduduk bekerja bagi semua sektor ekonomi terus mengukuh pada bulan tersebut kecuali bagi sektor perlombongan & pengkuarian. Peningkatan guna tenaga dalam sektor Perkhidmatan adalah dipacu oleh aktiviti Perkhidmatan makanan & minuman; Perdagangan borong & runcit dan aktiviti Pentadbiran & khidmat sokongan.

“Pencapaian pasaran buruh pada Jun 2022 adalah selaras dengan aktiviti ekonomi semasa yang lebih kukuh susulan peralihan ke fasa endemik di seluruh negara. Permintaan terhadap buruh telah meningkat, sekali gus ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam pasaran,” jelas Mustapa.

Menteri Unit Perancang Ekonomi itu turut memaklumkan bahawa beberapa petunjuk utama ekonomi juga menunjukkan prestasi yang menggalakkn seperti jumlah perdagangan pada bulan Jun meningkat sebanyak 43.4 peratus, sekaligus mencatatkan nilai tertinggi baharu sebanyak RM270.4 bilion. Nilai eksport turut mencatat peningkatan sebanyak 38.8 peratus dengan nilai RM146.2 bilion.

“Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 12.1 peratus pada bulan Jun 2022 sekaligus merupakan nilai tertinggi sejak Mei 2021, dengan semua komponen mencatat pertumbuhan positif. Sektor Pembuatan, Elektrik dan Perlombongan masing-masing mencatatkan peningkatan 14.5 peratus, 14.1 peratus dan 2.1 peratus,” kata Mustapa.

Nilai jualan sektor Pembuatan Malaysia pada bulan Jun 2022 meningkat sebanyak 23.4 peratus, iaitu yang tertinggi sejak Mei 2021 dengan merekodkan nilai jualan sebanyak RM153.5 bilion.

Pencapaian ini dipacu terutamanya oleh subsektor Peralatan Elektrik & Elektronik yang meningkat sebanyak 25.4 peratus.

Mustapa turut menjangkakan ekonomi negara tahun ini akan terus berkembang pada kadar yang disasarkan, iaitu di antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus.

“Trend jangka panjang kadar pengangguran negara adalah di sekitar 3.4 peratus (purata
bagi tempoh 2011-2021). Dengan mengambil kira pelbagai petunjuk ekonomi utama yang menggambarkan momentum pemulihan yang lebih baik dan jangkaan lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan, kadar pengangguran dijangka akan bergerak ke trend jangka panjang,” rumus Mustapa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat