Kerajaan masih kaji elaun, keistimewaan kepada Najib dan bekas PM selepasnya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih melaksanakan kajian terperinci berhubung Ketentuan Elaun dan Keistimewaan bagi Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mana-mana bekas Perdana Menteri selepas beliau.

Hal ini mengambil kira situasi semasa.

Perkara ini susulan soalan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan “cadangan Kerajaan memberi ganjaran harta tanah dan lain-lain dilapor bernilai RM100 juta kepada Najib, sama ada ianya telah diberi dan diperincikan pemberian kepada bekas Perdana Menteri itu dan bila. Jika tidak, apakah Kerajaan masih akan meneruskan pemberian tersebut dan kenapa”.

Pun begitu, soalan bukan lisan berkenaan dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Kata beliau, Elaun dan Keistimewaan bekas Perdana Menteri Malaysia adalah tertakluk kepada ketetapan kadar dan syarat di perenggan 21 (1), Jadual Pertama, Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].

“Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira situasi semasa, kerajaan sedang melaksanakan kajian terperinci berhubung Ketentuan Elaun dan Keistimewaan bagi Bekas Perdana Menteri yang termaktub di bawah Akta Ali Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237] yang mana kajian ini akan melihat secara menyeluruh berhubung cadangan untuk memberikan ganjaran sama ada berbentuk harta tanah atau lain-lain kepada Najib ,atau mana-mana bekas Perdana Menteri selepas Najib,” jawabnya.

Pada November 2021, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan di Dewan Rakyat, yang bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, memohon ganjaran hadiah berupa sebidang tanah dan rumah daripada kerajaan bernilai RM100 juta.

Tengku Zafrul berkata, permohonan itu dibuat oleh Najib selepas Bajet 2022 dibentangkan di Dewan Rakyat, menyebabkan perincian berkaitan ganjaran terbabit tidak dapat disenaraikan dalam pembentangan belanjawan berkenaan.

Beliau mengesahkan susulan permohonan yang dibuat itu, perbincangan mengenainya sudah diadakan pada Mesyuarat Jemaah Menteri dan menunggu keputusan dimuktamadkan.

“Permohonan ini (dibuat) selepas bajet dibentangkan dan dengan itu tidak terdapat sebahagian daripada anggaran Perbelanjaan 2022.

“Permohonan ini tidak ada dalam bajet kerana (RUU Perbekalan 2022) dibentangkan sebelum permohonan tersebut.

“Untuk dilaksanakan perkara ini, (ia) bakal dibawa sebagai RUU Bekalan (Tambahan) ke Parlimen,” katanya.

Bagaimanapun, selepas kekecohan itu Najib menolak ganjaran hadiah berupa sebidang tanah dan rumah daripada kerajaan bernilai RM100 juta.

Najib berkata, beliau turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengkaji semula Akta Saraan Bekas Perdana Menteri 1980 yang telah digubal pada 2003.

Katanya, penolakan itu dibuat selepas isu terbabit sengaja dimainkan pihak tertentu demi kepentingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Ya saya menolak tawaran tersebut tetapi saya mencadangkan dikaji semula peruntukkan ini untuk semua bekas Perdana Menteri dan peruntukkan telah diluluskan zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat