Kebenaran rentas negeri perlu dibuat di balai polis

- Advertisement -

PETALING JAYA: Permohonan bagi mendapatkan kebenaran rentas negeri perlu dibuat di balai polis dengan mengisi borang dan mengemukakan butiran serta bukti yang sahih, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Susulan itu, beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan atau anggota penguat kuasa yang didapati menyalahgunakan kuasa dalam urusan memberi kebenaran rentas negeri.

Katanya, amaran sama turut diberi kepada orang awam yang menyalahgunakan borang kebenaran rentas negeri termasuk membeli atau mendapatkan borang kosong dengan tandatangan dan cop palsu pihak berkuasa.

“Orang awam perlu mengikut prosedur yang betul untuk mendapatkan kebenaran merentas negeri dan tidak mengambil jalan mudah dengan memalsukan dokumen berkenaan.

“Borang rentas negeri mesti dibuat di balai polis dengan butiran yang sahih. Jadi, tindakan tegas akan diambil jika ada cop dan tandatangan palsu (pada borang).

“Malah, jika ada orang dalam (salah guna kuasa anggota penguat kuasa), tindakan tegas juga mesti diambil kerana ia satu pelanggaran undang-undang,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.

Perjanjian usaha sama itu dimeterai Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnian Md Eusope dan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mohktar yang disaksikan Ismail Sabri serta Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Semalam, polis di Shah Alam membuka kertas siasatan susulan tindakan individu membuat pemalsuan tandatangan pada borang rentas negeri kononnya milik Penolong Ketua Balai Polis Seksyen 6 di sini, selepas gambar borang itu tular di media sosial.

Sebelum ini, satu lagi kes seumpama itu turut dilaporkan berlaku membabitkan borang rentas negeri kosong dengan tandatangan Ketua Balai Polis Chukai, Kemaman, Terengganu, tular di media sosial, namun siasatan awal mendapati tandatangan itu dipalsukan.

Sementara itu, mengulas kerjasama Pharmaniaga dan UMT bagi projek madu kelulut secara saintifik dan komersial, Ismail Sabri berkata, ia akan dibangunkan bagi memberi peluang penyertaan golongan B40 serta pesara tentera.

Beliau berkata, projek itu bukan saja dapat mengembangkan potensi dan nilai komersial madu kelulut, malah dapat meningkatkan taraf ekonomi golongan berkenaan termasuk pesara tentera.

“Sebagai permulaan, projek usaha sama ini menyasarkan penyertaan 1,000 pesara tentera untuk diberikan latihan kemahiran dan modal bagi mengusahakan ladang madu kelulut mengikut standard Amalan Pertanian Baik (GAP) bagi menjamin kualiti produk,” katanya. – BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat