Tak Pertahan Kerusi, Rosakkan Imej Bersatu Dan Hasrat Muhyiddin Nak Jadi PM-10 – Puad

KUALA LUMPUR – Langkah Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempertahankan kerusi DUN Gambir digambarkan sebagai langkah pengecut oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi.

Kata beliau, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu merosakkan imej Bersatu dan hasrat Muhyiddin yang mahu kembali menjadi Perdana Menteri ke-10.

“Langkah Muhyiddin tidak pertahan kerusi DUN Gambir bukan langkah bodoh. Itu langkah pengecut, takut kalah.

“Rosaklah imej Bersatu dan Muhyiddin yang mahu jadi PM ke-10,” dakwa Puad dalam catatan Facebooknya pada Rabu.

Dalam hantaran sebelumnya Puad mengulas Bersatu tidak akan berani keluar kerajaan, tekan butang hanya ugutan.

“Bersatu tidak akan berani keluar kerajaan. Tekan butang hanya ugutan. Jawatan Menteri adalah talian hayat Bersatu.

“Keluar kerajaan memang “langkah bodoh” untuk mereka.

“Bersatu sebenarnya takut PRU awal. Apakah tumbangkan kerajaan sendiri (22 bulan) dan langkah Sheraton bukan langkah bodoh yang bunuh rakyat? Maka apakah kamu bertanggungjawab? soal Puad.

Beliau sebaliknya mendakwa Bersatu yang mengorbankan rakyat.

“Muhyiddin tidak mahu rakyat terkorban kerana langkah bodoh keluar kerajaan dan desak PRU awal. Rakyat akan kata “what the hell are you trying to do? Do you want to see us die?”.

“Sebenarnya rakyat sudah ramai terkorban kerana PKP separuh masak oleh PM ke 8. Mereka hilang perniagaan, hilang pekerjaan, hilang pendapatan dan ada yang bunuh diri,” ujarnya.