Bersatu Label Khaled, Puad Dan Nur Jazlan Penganggur Belaan UMNO

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan melabel dua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Dr Puad Zarkashi dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai penganggur politik belaan UMNO yang tidak sudah-sudah menyerang Bersatu.

Dalam rancangan bual bicara “Bersama Wan Saiful” dengan Ketua Bahagian Bersatu Parit Sulong, Datuk Ariss Samsudin yang disiarkan di Youtube mereka mengulas tindak-tanduk dan kenyataan tiga politikus UMNO ini yang dilihat penyerang utama Bersatu.

Wan Saiful membuat anggapan bahawa Khaled Nordin, Puad dan Nur Jazlan ‘menyalak’ menyerang partinya kerana takut Bersatu betul-betul menggantikan UMNO.

Dalam sesi bual bicara itu, Ariss menjawab soalan Wan Saiful berkenaan kenapa tiga ‘pengganggur-pengganggur politik’ dari UMNO bersungguh-sungguh menyerang Bersatu?

Kata Ariss, bagi mereka Bersatu adalah ancaman yang sebenar kepada mereka (UMNO) kerana mahu tidak mahu Bersatu.

“Bersatu ada kekuatan tersendiri di Johor apatah lagi Presiden kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun menjadi menteri besar Johor dalam tempoh yang agak lama, banyak jasa dia.

“Walaupun dalam masa yang singkat dia jadi Perdana Menteri iaitu 17 bulan tapi di mana-mana orang bercakap ketika dia menjadi Perdana Menteri banyak sangat yang diberikan malah cukup prihatin kepada rakyat.

“Jadi, yang mereka yang menyalak di Johor ini adalah yang kita maklum memang belaan UMNO yang disuruh memporak -peranda tapi tak memberi kesan langsung malah menimbulkan rasa muak rakyat kepda mereka malah saya percaya perkara ini akan ditentukan dengan undi,” kata Ariss menjawab soalan Wan Saiful.

Dalam pada itu Wan Saiful menambah, beliau tertarik dengan label belaan UMNO yang diungkapkan Ariss.

Katanya, sebab sebenar mereka menyalak ialah takut Bersatu menggantikan UMNO.

“Dah penganggur dibuang dari jawatan penganggur pun takut kena buang lagi,” bidas Wan Saiful dan menganggap tiga figura UMNO ini sebagai cabaran Bersatu di Johor.

Dalam perkembangan lain, Ariss memberitahu, dulu Johor disebut sebagai ‘jantung kerajaan’ UMNO/BN tetapi selepas kekalahan teruk mereka pada PRU14, maka keadaan telah cukup berubah.

“Kesedaran dari segi rakyat Johor cukup tinggi dan paling penting kekalahan itu mereka dapat tahu apa yang sebenarnya berlaku iaitu ketirisan dan salah guna kuasa. Mula timbul kesedaran rakyat untuk berubah. Johor bukan lagi hak milik mutlak UMNO/BN,” katanya.