Politik Perak: Gabungan PN Masih Yang Terbaik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan asal Perikatan Nasional (PN) Perak melibatkan Barisan Nasional (BN), Bersatu dan PAS masih dianggap sebagai formula terbaik dalam usaha menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di negeri itu.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata gabungan itu dilihat lebih rasional dan praktikal serta tidak memberi impak negatif di peringkat persekutuan.

“Penubuhan PN ada pasang surut, tetapi saya percaya ia formula terbaik yang harus diguna pakai buat masa ini, supaya krisis politik tidak bertambah keruh di Perak, mahupun merebak ke peringkat persekutuan.

“Mungkin gabungan ini perlukan penambahbaikan dan inilah masanya ruang perbincangan diperlukan untuk meleraikan segala kekusutan dalam konsep kemuafakatan sebagai sebuah keluarga yang besar,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Gabungan Kerajaan Baharu Negeri Perak’ terbitan Bernama TV, malam ini.

Beliau juga berpendapat setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam gabungan itu perlu menunjukkan kematangan dan berjiwa besar untuk bekerjasama semula bagi meneruskan dasar sedia ada di negeri itu, termasuk memastikan Belanjawan Perak 2021 dapat dibentang dan diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengenai usaha mewujudkan jajaran politik baharu antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di Perak, beliau berkata perkara itu sukar dilaksanakan kerana melibatkan pengorbanan prinsip dan kompromi yang harus diperhalusi.

Malah keputusan itu juga sukar mendapat persetujuan daripada ahli akar umbi terutama UMNO dan DAP yang dianggap seteru politik.

Kemelut politik Perak bermula selepas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu, gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN dalam usul keyakinan ADUN terhadap menteri besar yang dikemukakan pada persidangan DUN, Jumaat lepas.

Dalam undian sulit yang dijalankan, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

DUN Perak merangkumi 25 ADUN Barisan Nasional (BN) yang kesemuanya daripada UMNO, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat