“Ular Mematuk Itu Muhyiddin, Bukan Mahathir”- Marzuki

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Gelaran ‘dipatuk ular’ oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ha­nya relevan ditujukan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muh­yiddin Yassin.

Hal ini kerana beliau individu bertanggungjawab mencetuskan episod pengkhia­natan Pakatan Harapan (PH) melalui Langkah Sheraton.

Lapor Utusan , Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, atas tindakan Muhyiddin itu me­wajarkan mengapa PH tidak perlu bekerjasama dengan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Marzuki yang juga Ketua Setia­usaha gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) tidak bersetuju yang Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai ‘ular mematuk’ kerana siri pengkhianatan PH juga berpunca dari dalam parti PKR.

Jelasnya, pengkhianatan PKR sendiri menyaksikan beberapa pemimpinnya berkomplot de­ngan Muhyiddin membentuk kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) tanpa melalui pilihan raya dan mandat rakyat.

“Mengapa harus salahkan Tun Mahathir berkali-kali? Sudah banyak kali dijelaskan ini bermu­la dari pengkhianatan Muhyiddin dan juga Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali). Jika Nurul Izzah bercakap mengenai kerjasama, GTA tidak pernah pun memohon menyertai PH atau bekerjasama kerana prinsip kami jelas berbeza.

“Semasa PH menjadi kerajaan, Anwar yang memberi tekanan supaya Tun Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri. Kalau benar dianggap ular, beliau tidak perlu memperjuangkan GTA dan tubuhkan Pejuang. Tun Mahathir masih boleh teruskan kerajaan di bawah PH jika mahu.

“Saya tidak rasa kenyataan Nurul Izzah (dipatuk ular) relevan. Beliau tahu siapa pengkhianat yang sebenar. Beliau tidak boleh menghukum semua (pemimpin Bersatu sebelum Langkah Sheraton) adalah pengkhianat,” kata­nya lapor akhbar itu.

Mengulas lanjut, bekas Setia­usaha Agung Bersatu itu berkata, PH tidak pernah berhenti me­nyalahkan Mahathir atas sesuatu tindakan sejak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihukum penjara sebelum ini.

“Sebab itu hingga sekarang cuba salahkan Mahathir padahal beliau dulu bersama-sama PH malah membawa isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam pentadbiran PH,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, PH bertegas tidak akan kembali bergabung dengan Mahathir dan Muhyiddin pada PRU15 kerana tidak mahu lagi melalui episod ‘dipatuk ular’ lebih daripada sekali.

Kemelut politik negara bermula sejak Langkah Sheraton pada Februari 2020 menyaksikan gerakan menyingkirkan PH sebagai kerajaan apabila beberapa parti politik berkomplot membentuk kerajaan baharu, PN.

Langkah Sheraton digerakkan Bersatu (semasa dalam PH) diketuai Muhyiddin yang tidak sebulu dengan Mahathir. Muhyiddin pula disokong beberapa ahli Parlimen PKR sehingga menyebabkan Mahathir tidak mempunyai pilihan selain meletak jawatan Perdana Menteri.

Rentetan itu, Dr. Mahathir menubuhkan Pejuang bersama anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Marzuki bagi menggantikan UMNO dan Bersatu yang didakwa sudah tersasar daripada matlamat asal.

Pejuang kini berada dalam gabungan lebih besar dinamakan GTA bersama tiga parti politik lain bagi memperjuangkan bangsa Melayu pada PRU15.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat