Mesej dalam sutera

- Advertisement -

TAMPIL dengan lagu baharu berjudul Sutera, penyanyi Aisha Retno menyuntik elemen kisah bersejarah masyarakat Jawa dalam karya terbabit.

Penyanyi kacukan Malaysia-Indonesia berusia 22 tahun itu akui mesej dalam Sutera sangat mendalam. Bagaimanapun, penyampaiannya disalurkan dalam bentuk metafora.

“Lagu Sutera adalah perlambangan kepada permaisuri Jawa. Kita tahu sutera sifatnya lembut, agung dan amat dihargai oleh ramai orang. Bagaimanapun, kalau dirosakkan kain itu, habis tercemar keagungannya.

“Begitu juga dengan permaisuri Jawa itu. Kalau ada orang yang pernah sakiti hatinya di masa lalu, maka tercemar juga perasaannya.

“Kita kena betul-betul jaga kain sutera, begitu mesej lagu ini yang disampaikan secara metafora. Permaisuri Jawa ini kerap disakiti beberapa jejaka pada masa lalu,” katanya.

Aisha menjelaskan bahagian korus lagu itu pula memberitahu untuk lupakan pengalaman pahit yang pernah dihadapi dan teruskan kehidupan menjadi seorang yang lebih baik.

“Lagu ini mempupuk semangat cinta akan diri sendiri dan pemerkasaan wanita. Sebagai wanita, kita juga boleh berdiri teguh dengan kaki sendiri. Tidak dinafikan wanita perlukan seorang lelaki, tapi apa pun diri sendiri mesti kuat mengharungi kehidupan,” katanya.

Berbicara mengenai kelainan ditampilkan dalam Sutera, menurutnya gabungan elemen etnik Jawa dan muzik moden EDM menjanjikan perbezaan berbanding lagunya yang terdahulu.

“Saya banyak memasukkan elemen etnik dalam lagu ini. Tentunya berbeza kerana sebelum ini saya selalu lancarkan lagu genre balada sahaja. Tapi, kali ini saya tampil dengan genre berbeza dan turut menyelit elemen tarian dalam muzik video.

“Lagu ini sangat ‘catchy’, elemen etnik benar-benar membuatkannya istimewa. Di sebalik bunyi etnik atau tradisional itu turut diselitkan elemen moden seperti EDM. Gabungan dua genre ini yang menambah warna kepada lagu ini,” katanya.

Aisha yang cukup terkenal dengan lagu balada juga menjadikan Sutera sebagai cabaran untuk dirinya keluar dari zon selesa.

“Saya hasilkan lagu ini dalam masa tiga hari sahaja termasuk proses penghasilan (producing). Selain itu, saya juga mencabar diri menerusi lagu pop etnik yang sangat berbeza berbanding apa yang orang dah lihat dalam lagu saya sebelum ini,” jelasnya.

Aisha juga cukup gembira apabila penghasilan Sutera mendapat sentuhan MFMF selaku penerbit. Katanya, mereka berjaya memantapkan lagi hasil akhir karya terbabit.

“Momen istimewa ketika menghasilkan lagu ini adalah saya ditemani kucing saya. Saya duduk di piano dalam masa satu hari bersama kucing itu.

“Saya sangat berpuas hati dengan sentuhan MFMF. Mereka sangat pantas buat kerja sebagai penerbit dan dalam masa satu hari sahaja dapat disiarkan,” katanya.

Dengan tampilkan sisi berbeza, Aisha juga berharap Sutera mendapat putaran radio selayaknya dan mampu menghiburkan hati peminat.

“Saya harap peminat terhibur dengan karya saya. Semoga lagu ini mendapat sambutan hangat dan boleh dijadikan trend atau cabaran di aplikasi TikTok.

“Peminat boleh menari bersama apabila mendengar dan menonton muzik videonya. Saya juga berharap lagu ini diterima serta dimainkan di corong radio. Saya pun tak sabar untuk menyanyikan lagu ini secara langsung,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat