Keputusan BNM Turunkan Kadar OPR Dijangka Bantu Pulih Ekonomi Lebih Pantas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk sekali lagi menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 0.25 peratus kepada 1.75 peratus adalah tepat, sejajar sasaran kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dengan pantas, kata ahli ekonomi.

Pengguna mempunyai lebihan tunai untuk dibelanja memandangkan kadar faedah pinjaman bank tempatan menjadi lebih rendah.

Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata penurunan OPR adalah langkah penggunaan dasar kewangan oleh BNM untuk mengukuhkan lagi dasar fiskal.

“Kerajaan sebelum ini menggunakan dasar fiskal dengan menyuntik perbelanjaan penggunaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Cerapan data terkini juga menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang positif disokong oleh perbelanjaan penggunaan.

“Justeru, perbelanjaan penggunaan perlu terus dirangsang. Perbelanjaan penggunaan diperlukan bagi menggerakkan sektor ekonomi yang seterusnya dapat mencipta peluang pekerjaan dan mengurangkan pengangguran,” katanya.

Bank pusat menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) semalam memutuskan untuk menurunkan OPR yang menjadi penanda aras rujukan kadar pinjaman tempatan ke paras terendah dalam sejarah.

Ini adalah penurunan keempat dalam tempoh enam bulan dengan jawatankuasa itu pada 22 Januari dan 3 Mac lalu membuat keputusan menurunkan OPR masing-masing 0.25 peratus.

MPC pada 5 Mei lalu sekali lagi mengurangkan OPR sebanyak 0.50 peratus.

Sementara itu, ahli ekonomi OCBC Bank, Wellian Wiranto, berkata keputusan BNM itu diyakini berdasarkan kenyataannya bahawa impak COVID-19 terhadap ekonomi global adalah teruk.

“Walaupun BNM menjelaskan bahawa ketika ekonomi global dijangka mulai bergerak pada suku kedua, ia turut memberi isyarat bahawa pemulihan akan terkesan oleh kelemahan dalam pasaran pekerjaan, selain langkah berhati-hati oleh isi rumah dan perniagaan.

“Secara khusus, ia memberi amaran terdapat ancaman risiko penurunan terhadap tinjauan ekonomi global, terutama jika pandemik itu muncul semula sehingga langkah pembendungan terpaksa dilaksanakan kembali,” katanya dalam satu nota.

Pendapatnya turut senada dengan Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid yang berkata bahawa bank pusat tetap berwaspada dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku pada masa akan datang.

Beliau berkata, risiko penurunan masih berlanjutan dengan peningkatan jumlah kes baharu COVID-19 di negara maju, terutama Amerika Syarikat (AS).

“Oleh itu, dasar monetari harus diarahkan untuk menyokong kegiatan ekonomi. Mesej utama daripada MPC adalah bahawa BNM akan berusaha lebih jauh dari segi kemudahan dasar monetari.

“Dalam pengertian itu, selalu ada kemungkinan OPR akan dipotong lebih banyak lagi, tetapi ia bergantung kepada data semasa,” katanya.

MIDF Research dalam notanya berkata, pengurangan OPR itu adalah langkah yang sangat dinantikan pasaran.

Firma penyelidikan itu berkata, pelonggaran tambahan dalam dasar kewangan bakal memberikan sokongan tambahan kepada ekonomi yang dijangka pulih secara beransur.

“Kami menjangkakan tidak ada lagi penurunan kadar pada tahun ini. Dengan penurunan kadar terbaharu ini, kami tidak menjangkakan ada keperluan tambahan pelonggaran kewangan.

“Walaupun terdapat ketidakpastian dan risiko penurunan pertumbuhan, tahap kadar dasar semasa dianggap dapat membantu pemulihan aktiviti ekonomi pada beberapa bulan akan datang,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat