KUALA LUMPUR- Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan sementara pasportnya untuk ke Australia bagi melawat ahli keluarga yang menghidap kanser.
Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu susulan permohonan peguam bela Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asma Ahmad.
Pasport Muhyiddin ditahan mahkamah selepas dituduh terbabit penyelewengan dan salah guna kuasa antara Mac 2020 dan Ogos 2021, lapor BH pada Rabu.
Muhyiddin, 77, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi Bersatu.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Bekas Perdana Menteri itu juga berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang semuanya berjumlah RM200 juta.