Ekonomi Malaysia Dijangka Kembali Kukuh Akhir Tahun Ini – Tengku Zafrul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilakukan secara sistematik dan rancangan pemulihan ekonomi negara yang menerapkan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) akan menjadi kunci utama untuk memacu Malaysia kembali ke landasannya, menjadikan ia lebih kukuh menjelang akhir 2021, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, berdasarkan kepada data semasa, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara beransur-ansur telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020.

“Kita mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa situasi buruk yang dialami telah berakhir. Saya pasti Malaysia akan muncul untuk kembali kukuh pada akhir tahun ini,” kata beliau kepada Bernama.

Tengku Zafrul berkata, sektor ekonomi yang dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan kepada pematuhan ketat SOP meliputi 93 peratus daripada ekonomi semasa PKP 2.0 dan ini telah mengakibatkan kerugian output sebanyak RM300 juta setiap hari berbanding RM2.4 bilion sehari semasa PKP 1.0.

Beliau juga berkata, empat pakej rangsangan ekonomi berjumlah sehingga RM305 bilion atau lebih daripada 20 peratus KDNK, berserta pembukaan semula ekonomi secara berperingkat sejak awal Mei 2020 telah menyokong KDNK 2020 sekitar empat mata peratusan.

Ini juga telah menyumbang kepada 24 peratus peningkatan dalam KDNK daripada RM289.4 bilion pada suku kedua 2020 kepada RM357.4 bilion pada suku keempat 2020.

Selain itu, Belanjawan 2021 yang dibentangkan tahun lepas bersama dengan pakej bantuan PERMAI akan melengkapkan lagi pemulihan ekonomi Malaysia dan mengurangi implikasi daripada langkah-langkah membendung penularan COVID-19.

“Tambahan pula, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Malaysia yang telah dimulakan sejak akhir Februari 2021 akan menyokong pembukaan semula ekonomi dan merancakkan aktiviti perniagaan kita. Ini akan disokong oleh pemulihan kukuh dalam perdagangan global dan harga minyak mentah yang lebih tinggi, ” jelas Tengku Zafrul.

Tengku Zafrul berkata, kementerian menyasarkan defisit negara kepada kurang daripada 6.2 peratus daripada KDNK untuk tahun 2021.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada seberapa cepat ekonomi pulih dan fokus kerajaan menyokong sektor-sektor tertentu bagi mengembangkan ekonomi tempatan.

Defisit negara meningkat kepada 6.2 peratus daripada KDNK pada tahun 2020 daripada 3.4 peratus pada tahun 2019.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk mendaftar program vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera atau laman web rasmi seperti yang diiklankan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19.

“Adalah sangat penting bagi negara untuk mencapai imuniti kawanan secepat mungkin bagi memastikan pemulihan ekonomi sepenuhnya dicapai termasuk sektor yang paling teruk terjejas seperti pelancongan, peruncitan dan penerbangan.”

Dalam perkembangan berasingan, bekas tokoh bank itu berkata, keputusan Bank Negara untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus pada mesyuarat dasar monetarinya baru-baru ini akan membantu meringankan aliran tunai individu dan perniagaan, mendorong perbelanjaan pengguna dan memacu lebih banyak aktiviti pinjaman oleh institusi kewangan .

“Ini akan memberikan dorongan kepada pertumbuhan ekonomi kita serta melengkapkan langkah-langkah fiskal kerajaan dalam memastikan pemulihan ekonomi yang berterusan.”

Kementerian Kewangan telah melancarkan laporan mengenai satu tahun pencapaiannya bersempena dengan ulang tahun tahun pertama kerajaan Perikatan Nasional.

Di dalam laporan berkenaan, Tengku Zafrul berkata, bahawa pandemik COVID-19 telah mengakibatkan kesan sosioekonomi yang belum pernah dialami oleh Malaysia dengan risiko besar kepada kesihatan awam dan kerugian kira-kira RM2.4 bilion sehari kepada ekonomi semasa PKP 1.0.

“Bagi menangani pandemik ini, kerajaan telah menyusun strategi 6R, merangkumi enam tahap iaitu Ketegasan (Resolve), Ketahanan (Resilient), Memulakan Semula (Restart), Pemulihan (Recovery), Memperkasa (Revitalise) dan Menyusun Semula (Reform).

“Pelaksanaan pelbagai jenis inisiatif termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN disokong oleh penggunaan data semasa, yang memungkinkan intervensi dan penyelarasan segera untuk memastikan penyampaian yang berkesan,” ujar beliau.

PKP 1.0 telah menyebabkan penguncupan KDNK sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua.

Bagaimanapun, hasil tindakan pantas kerajaan telah membuahkan hasil positif apabila ekonomi negara akhirnya mencatatkan kadar penyusutan yang lebih rendah iaitu 5.6 peratus bagi tahun 2020.

Langkah-langkah berkenaan turut membantu menurunkan kadar pengganguran daripada 5.3 peratus (Mei 2020) kepada 4.8 peratus (Disember 2020).

“Namun, masih banyak yang perlu dilaksanakan. Belanjawan 2021 dan Pakej Bantuan PERMAI akan menyokong. Saya juga yakin bahawa 80 peratus rakyat Malaysia dijangka akan mendapat vaksin menjelang awal 2022 yang akan membantu mendorong pemulihan ekonomi negara.

“Sementara itu, Kementerian Kewangan dan LAKSANA akan terus memastikan semua inisiatif dilaksanakan dan dipantau dengan sempurna agar rakyat dan negara kita mampu pulih dan muncul lebih berdaya tahan daripada sebelumnya,” kata Tengku Zafrul.

Pada 16 Mac 2020, Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) telah dibentuk untuk memantau pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat