Bajet 2023 Perkasa Sekuriti Makanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedaya upaya memastikan impak kenaikan kos yang minimum antaranya melalui penetapan harga siling bahan makanan, penghapusan permit import dan melaksanakan inisiatif Jualan Murah Keluarga Malaysia.

Ini susulan perkembangan global menyumbang kepada peningkatan kos makanan sedunia tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selaras dengan Dasar Agromakanan Negara, kerajaan akan terus memperkasa sekuriti makanan supaya tidak lagi bergantung kepada bekalan import agar mampu berdaya tahan daripada sebarang kejutan masa hadapan.

“Setakat tahun 2020, penggunaan tanah bagi tanaman makanan telah merosot kepada hanya 1.2 juta hektar berbanding 7 juta hektar untuk penanaman kelapa sawit dan getah.

“Bagi meningkatkan penghasilan makanan, kerajaan berhasrat untuk memanfaatkan tanah-tanah terbiar milik FELDA, FELCRA dan RISDA dan agensi di bawah MAFI dengan keluasan sehingga 800 ekar untuk tanaman makanan,” katanya ketika pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat.

Menurut beliau bagi meningkatkan tahap kemandirian pengeluaran (SSL) di samping menggalakkan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian, inisiatif berikut akan dilaksanakan iaitu Skim Pembiayaan Agrofood BNM pada kadar 3.5 peratus untuk pengusaha agromakanan meningkatkan produktiviti pengeluaran disediakan dana 1 bilion ringgit; program pelaburan Agrovest oleh Agrobank antaranya bagi menyediakan dana permulaan kepada syarikat pemula pertanian berteknologi moden dengan dana RM 250 juta.

“Pelaburan RM200 juta oleh Khazanah di bawah Dana Impak dengan fokus untuk meningkatkan pendapatan dan produktiviti pekebun kecil; program Digital AgTech di bawah MDEC akan diperluas ke 264 Pertubuhan Peladang Kawasan di seluruh negara dengan peruntukan RM 20 juta bagi melatih lebih ramai pekebun kecil beradaptasi dengan teknologi digital;dan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia yang dirancang turut memberi fokus kepada galakan tanaman makanan rendah SSL seperti cili, halia dan kobis dalam kalangan isi rumah terpilih,” katanya.

Di samping itu, Tengku Zafrul menambah terdapat pengusaha memproses sisa pertanian untuk hasilkan makanan ternakan dengan menggunakan black soldier fly.

“Bagi menyokong usaha pertanian lestari, RM56 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk pelbagai inisiatif seperti pembangunan kelestarian agromakanan.

“Selain itu, tempoh galakan cukai bagi projek pengeluaran bahan makanan akan dilanjutkan sehingga akhir tahun 2025 dengan skop galakan juga diperluas untuk turut merangkumi projek pertanian moden berasaskan Controlled Environment Agriculture,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat