Tingkatkan eksport, galak pelaburan untuk kukuh kembali ringgit

- Advertisement -

PETALING JAYA: Kerajaan disaran meningkatkan eksport barangan dan perkhidmatan dengan mengambil kesempatan ringgit yang diunjurkan kekal rendah, pada masa sama mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.

Penganalisis ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ringgit diunjurkan berlegar sekitar 4.38 hingga 4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini kerana sentimen di negara berkenaan belum lagi stabil disebabkan kemungkinan kenaikan lagi kadar faedah.

Sehubungan itu, beliau tidak bersetuju dengan cadangan agar mata wang negara itu ditambat dalam usaha menstabilkannya, kerana berpendapat, situasi semasa 1998 dan sekarang jauh berbeza.

“Kalau boleh kita tak mahu guna rizab antarabangsa kita dihabiskan untuk mengukuhkan ringgit. Lagipun, ringgit lemah pada masa ini bukan disebabkan serangan spekulator seperti 1998 dahulu, tetapi disebabkan situasi yang berlaku di AS dan China, yang pada hemat saya bersifat sementara sahaja.

“Memandangkan harga komoditi seperti minyak, gas, dan minyak sawit kekal tinggi, seeloknya pertingkatkan eksport untuk mengukuhkan kembali ringgit. Sebaiknya, kita biarkan pergerakan ringgit ditentukan oleh pasaran tanpa banyak intervensi daripada kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, pasaran boleh menentukan sebenar ringgit di mana jika banyak permintaan terhadap eksport negara, maka mata wang itu akan kembali mengukuh.

Katanya, begitu juga jika kerajaan berterusan menggalakkan kemasukan pelaburan ke dalam negara, ia akan turut mengukuhkan ringgit.

“Ini yang kerajaan perlu lakukan, galakkan eksport dan pelaburan masuk ke dalam negara. Kalau kerajaan cuba tambatkan ringgit, ia akan menyebabkan ringgit tidak akan mendapat permintaan di peringkat global kerana ia dianggap tidak stabil dan mudah dimanipulasi oleh kerajaan,” katanya.

Menurut Ahmed Razman, kadar mata wang dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kadar inflasi negara, Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), akaun semasa, imbangan perdagangan, hutang Kerajaan Persekutuan dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu katanya, pelaburan asing juga turut memberi kesan kepada kadar mata wang.

“Inflasi dan OPR yang tinggi, akaun semasa dan imbangan perdagangan yang negatif, hutang kerajaan yang meningkat dan KDNK yang negatif akan menyebabkan mata wang menjadi lemah. Pelabur asing yang menjual pelaburan tempatan juga akan menyebabkan mata wang menjadi lemah,” jelasnya.

Ditanya kedudukan ekonomi negara ketika ini, beliau berkata, Malaysia masih mencatatkan akaun semasa dan imbangan perdagangan yang positif, inflasi pada kadar 2.3 peratus, OPR yang masih rendah pada kadar 2 peratus, pertumbuhan KDNK yang positif 5 peratus pada suku pertama (Q1) 2022 dan hutang Kerajaan Persekutuan yang masih di bawah 65 peratus daripada KDNK.

“Pelaburan FDI juga meningkat pada tahun ini. Oleh itu, saya melihat secara fundamentalnya kedudukan ekonomi kita masih lagi kukuh. Yang penting sekarang ialah menangani isu-isu yang masih belum selesai seperti kos makanan yang tinggi,” katanya. –

-UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat