Semua Salah Letak Di Bahu PM, Menteri Buat Apa? – Khaled

KUALA LUMPUR- Tidak wajar meletakkan semua beban kesalahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri-menteri juga seharusnya tampil dan menunjukkan kepimpinan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Meletakkan segala kesalahan kepada Perdana Menteri adalah tidak wajar. Menteri-menteri terbabit wajar tampil dan menunjukkan kepimpinan.

“Namun di mana semua Menteri di kala Perdana Menteri berhadapan dengan pelbagai asakan kerana keculasan mereka dalam tanggungjawab,” tempelak beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor itu menyatakan, krisis makanan bukan isu baru dan semakin meruncing semasa pandemik.

“Masakan Menteri dan Kementerian berkaitan tidak boleh merancang ke hadapan bagi megelakkan segala masalah ini.

“Ayam, ikan, daging, sayur-sayuran dan minyak masak menjadi mahal tetapi yang lebih membimbangkan ialah bekalan makanan tidak mencukupi.

“Malaysia negara membangun paling berjaya. Tetapi rakyat Malaysia dalam kurun ke -21 kekurangan makanan apalagi sumber protein,” kata beliau.

Jelas Khaled rencam kepelbagaian krisis yang dihadapi negara mutakhir ini dapat dipulihkan dengan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

Menurut Khaled antara cabaran yang sedang ditentang Malaysia ketika ini ialah ekonomi yang menunjukkan pemulihan yang sangat perlahan.

Kata beliau, pelaburan asing hanya sekadar iltizam di atas kertas.

“Krisis makanan adalah realiti yang nyata. Sistem immigrasi terus bermasalah.

“Kesesakan lalu lintas membarah apalagi bila sistem rel semuanya semakin usang dan menua,” ujarny.

Beliau menegaskan, penafian bukan lagi pilihan kepada kerajaan.

Malah kata Khaled, Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian dari kerajaan tidak akan lari dari tanggungjawab atas semua ini.

“Ingin memperbaharui passport mengambil masa berminggu. Ditambak Johor, ratusan ribu terpaksa beratur berjam-jam lamanya kerana kesesakan di CIQ Malaysia.

“Sedangkan semua mempunyai masa hampir dua tahun untuk menambah baik sistem bagi kelancaran perkhidmatan sewaktu pandemik.

“Entah berapa kali lagi LRT tidak lancar berfungsi, menyukarkan ratusan ribu pekerja yang harus ke pejabat setiap hari. Kesesakan di Kuala Lumpur dan lebuh raya pula semakin menggila.

“Semuanya hanya memaparkan satu gambaran. Bahawa perkhidmatan awam di Malaysia berhadaan krisis keyakinan dan kecekapan,” ulas beliau.

Sementara itu kata Khaled lagi, kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, keutamaan negara ialah mengatasi krisis ekonomi namun keutamaan menteri nampaknya Kuala Selangor.

“Perbendaharaan negara tidak perlu menjadikan kawasan mana sekali pun anak angkat. Ini adalah dasar sasau dan keliru.

“Kepada kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam, menguatkuasakan peraturan disiplin untuk memastikan bahasa Melayu diutamakan sepenuhnya bukan keutamaan sama sekali.

“Meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam adalah apa yang negara ini perlukan pada waktu ini,” tegas Khaled.