Kekalkan Budi Bahasa Di Alam Maya

- Advertisement -

Oleh: Prof Madya Dr Khairunesa Isa

Impak dunia tanpa sempadan dan Revolusi Perindustrian 4.0 menyaksikan penggunaan teknologi banyak mengambil alih peranan manusia secara konvensional dalam kehidupan harian. Ditambah dengan pandemik COVID-19 yang masih belum reda, penggunaan gajet bukanlah sesuatu yang asing malah dilihat sebagai keperluan oleh semua termasuk pelajar sekolah apabila kementerian melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Komunikasi Secara Maya

Bagi yang bekerja, kebanyakan mesyuarat dan bengkel dilakukan secara dalam talian. Hari ini para akademia dan orang awam sudah tidak perlu bersusah payah untuk mengikuti seminar kerana semuanya dilaksanakan secara dalam talian.

Program mobiliti akademik yang amalannya dilaksanakan secara fizikal juga turut dijalankan secara maya, menyebabkan mahasiswa agak kerugian kerana tidak dapat mengenali rakan luar negara secara rapat dan menikmati keindahan negara luar secara nyata.

Selain itu, pembelian secara bukan fizikal (non-physical) semakin menjadi pilihan pengguna. Pembeli bebas membeli apa sahaja atau di mana sahaja barangan yang diinginkan. Pembayaran tanpa menggunakan tunai pula sangat digalakkan. Semuanya bertujuan untuk mengurangkan kadar kebolehjangkitan pandemik COVID-19 yang boleh merebak melalui sentuhan.

Pada zaman kanak-kanak kita sering dipesan supaya tidak berbual atau menaiki kenderaan dengan orang yang tidak dikenali, namun hari ini kita bebas berinteraksi secara maya dengan sesiapa sahaja yang tidak dikenali. Malah dengan aplikasi teknologi sepert i Grab kita sendiri memanggil orang yang tidak dikenali untuk menghantar kita ke lokasi tertentu. Dengan kuasa teknologi juga hari ini, boleh dikatakan setiap masa kita dapat berbual dengan kenalan baharu dan lama secara ‘bersemuka’ di alam maya.

Budi Bahasa

Komunikasi secara maya menyebabkan masyarakat hari ini lebih terbuka menyuarakan pendapat. Jika rajin mengikuti ruangan komen di Facebook, Instagram dan Twitter, seribu satu bentuk pendapat dapat dilihat. Ada berbentuk positif tidak kurang berbentuk negatif. Ada pendapat disampaikan dengan penuh emosi malah ada juga tanpa emosi sehingga tidak menghiraukan isu-isu sensitif.

Masyarakat bebas memberi komen melulu terhadap sesuatu isu tanpa menyelidik. Malah tahap kebebasan bersuara masyarakat seperti tiada batas apabila membuat komen keterlaluan terhadap pemerintah, pihak berautoriti mahu pun individu tertentu. Kadang kala sikap mereka tidak langsung menggambarkan nilai kesopanan dan kesusilaan yang digariskan dalam prinsip kelima Rukun Negara.

Kadang kala sesuatu yang berlaku tidak memerlukan sebarang komen namun ada pihak cuba mencipta isu bagi membuka ruangan komen lain. Kadang kala isu yang berlaku belum sempat diambil tindakan oleh pihak berkuasa tetapi komen dari masyarakat alam maya lebih dahulu menjatuh hukum.

Keterlibatan keterlaluan komunikasi di alam maya juga boleh mengundang kepada berlakunya jenayah. Perkenalan jangka pendek, penipuan wang ringgit, perjudian dan sebagainya kerap berlaku kerana masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain. Realisitiknya komunikasi secara maya dilihat seperti membuka ruang kepada masalah atau jenayah sosial.

Adab Berkomunikasi

Namun perkara ini boleh diatasi jika masyarakat alam maya masih ingat dan mampu mengekalkan nilai beradab sopan semasa berkomunikasi. Tidak salah memberi pendapat tetapi berilah dengan penuh makna dan berbudi bahasa. Tidak salah untuk tidak bersetuju dengan sesuatu isu tetapi sampaikan dengan penuh hikmah dan santun. Berfikir sebelum menaip adalah prinsip utama yang perlu diingat. Jika tidak ada apa yang sesuai dikomen sebaiknya biarkan sahaja isu itu berbicara sendiri. Sekurang-kurangnya kita mampu mengurangkan kadar salah faham dan penerimaan individu lain terhadap komen yang diberikan. Malah, Rasulullah SAW juga bersabda “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam”.

Seniman Agung P. Ramlee dalam karyanya turut mengingatkan ‘Bahasa Mencerminkan Bangsa’ melalui filem Seniman Bujang Lapok. Berbudi bahasa tidak mengira bangsa dan agama. Tidak mengira pangkat dan darjat kerana ia melambangkan diri kita yang sebenar.

Andaikan kita terkasar bahasa saat berbicara di alam maya, tidak salah untuk kita memohon maaf. Mungkin terkadang kita lupa bahawa manusia mempunyai latar belakang kepercayaan, sikap dan cita rasa berbeza maka sudah tentu pendapat juga berbeza. Boleh jadi tahap pemahaman dan penerimaan terhadap sesuatu komen juga berbeza.

Hidup bermasyarakat dalam dunia berorientasi teknologi dan kemodenan bukan penghalang untuk mengekalkan nilai adab sopan yang sudah didedahkan di peringkat awal persekolahan. Malah pengenalan dan penerapan nilai murni ini merupakan pendidikan asas yang diterapkan oleh ibu bapa kepada anak-anak di rumah. Slogan Budi Bahasa Budaya Kita juga sudah lama diperkenalkan agar menjadi pegangan dalam kehidupan bermasyarakat. Bukan hanya kita sebagai individu malah amalan berbudi bahasa ini merupakan idaman pemimpin negara yang didiami oleh masyarakat berbilang bangsa.

— BERNAMA

Prof Madya Dr Khairunesa Isa merupakan pensyarah Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat