KUALA LUMPUR – UMNO ialah parti yang paling terkesan dan menjadi mangsa lompat parti apabila terdapat ahli parlimennya yang melompat parti apabila Barisan Nasional (BN) tewas.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, malah ada juga meskipun masih dalam BN ketika itu bernada musuh politik UMNO dengan mengharap dapat bekerjasama dengan sekutu mereka yang melompat parti.

Hal demikian kata Pengerusi BN itu lagi, beliau sudah menyatakan bahawa persefahaman kerajaan sedia ada di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH) perlu dinilai semula kerana dinilai kurang tegas dalam usaha untuk mempercepatkan membentang dan meluluskan undang-undang ini.

“Sudah pasti ini juga satu tamparan hebat terhadap PH yang membuat persefahaman dengan kerajaan yang sebenarnya bimbang tak mampu dan tak bersedia berdepan pilihan raya umum (PRU) jika Parlimen dibubarkan.

“Kini sudah tiba masanya UMNO dalam kerajaan lebih tegas menangani isu ini sebelum menambahkan lagi kemarahan yang mahu undang-undang lompat parti disegerakan,” ulas Zahid.

Beliau berkata demikian sebagai respons balas laporan media bahawa kerajaan
tidak akan meneruskan rancangan untuk membentang dan meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan yang bertujuan untuk menghalang ahli parlimen daripada lompat parti.

“Dikatakan juga Kabinet semalam memutuskan untuk membentangkan RUU bagi meminda beberapa bahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang akan membolehkan perundangan “antilompat” di masa akan datang.

“Dengan kata lain, perundangan “antilompat” akan mengambil masa yang panjang, berdepan risiko ditangguh untuk sekian kali, kelewatan ini seolah-olah tiada keseriusan dan ketegasan, malah kurang keazaman politik untuk digubal, bahas dan diluluskan.

“Adakah terdapat gunting dalam lipatan di sebalik kelewatan ini? Soal Zahid.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyebut sudah tentu ini amat mengecewakan rakyat Malaysia yang sudah lama menanti kewujudan undang-undang dilaksanakan segera kerana mandat rakyat memilih pemimpin ketika pilihan raya hilang apabila lompat parti.