UMNO menang besar jika Zahid, Najib bersara dari politik – Penganalisis Politik

- Advertisement -

PUTRAJAYA: UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lebih besar dan berupaya menguasai sokongan pengundi muda jika dua tokoh utama dalam parti itu bersedia untuk bersara daripada politik.

Penganalisis politik veteran, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling berkata, parti itu tidak boleh terlampau yakin dan selesa dengan kemenangan beberapa pilihan raya kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu kerana bilangan keluar mengundi adalah kecil apatah lagi majoriti sokongan adalah dalam kalangan penyokong tegar.

Justeru beliau berkata, selagi ada pemimpin yang mempunyai masalah di mahkamah dan terpalit dengan isu rasuah iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak, UMNO dan BN tidak mampu mencapai matlamat kemenangan sepenuhnya.

“Selagi masalah itu ada, mungkin ada pengundi golongan muda ramai mengundi nanti, kita tidak tahu hati pengundi muda, mungkin golongan ini menolak UMNO kerana ada masalah seperti itu (pemimpin rasuah).

“Kemenangan itu mungkin ada tetapi barangkali tidak seluas dicapai kalau tidak dibersihkan dalaman UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal berkata, ‘pembersihan’ dalaman UMNO tidak dapat dilaksanakan selagi tidak ada pemilihan parti apatah lagi parti itu membuat keputusan menangguhkan pemilihan selepas PRU-15.

Oleh itu katanya, adalah lebih baik pemimpin itu sendiri menarik diri dan tidak menawarkan bertanding sebagai calon dalam PRU-15.

Bagaimanapun, beliau percaya UMNO dan BN mempunyai kekuatan organisasi yang menyeluruh dan meluas sehingga ke peringkat akar umbi.

“Keupayaan UMNO sebagai sebuah organisasi untuk menggerakkan kempen ke akar umbi lebih baik berbanding parti lain. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR malah Pakatan Harapan sekali pun tidak meluas akar umbi seperti UMNO,” katanya.

-ARTIKEL asal Utusan Online

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat