CYBERJAYA: Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof menjelaskan bahawa sehingga Februari 2022, sejumlah 16 projek infrastruktur jalan dan jambatan baru di Sabah telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya.

Jelas beliau, berdasarkan jumlah projek yang telah diluluskan, sebanyak enam (6) projek adalah merupakan projek pembinaan Jalan Persekutuan manakala baki sepuluh (10) projek yang diluluskan adalah merupakan projek pembinaan dan menaik taraf jambatan bagi Jalan persekutuan.

Bagi pelaksanaan enam (6) buah projek infrastruktur Jalan persekutuan, status terkini adalah sebanyak 4 buah projek sedang dalam fasa
pembinaan yang dilaksanakan oleh Agensi Pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah dan dijangka akan siap pada pertengahan tahun
2022. Baki dua (2) projek lagi sedang berada pada fasa perancangan dan reka bentuk. Jumlah keseluruhan kos projek bagi keenam-enam projek tersebut adalah sebanyak RM1.6 bilion.

Beliau membuat penjelasan ini semasa menjawab pertanyaaan lisan Ahli Parlimen Beaufort Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Binti Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Dun di Parlimen pagi tadi.

Tambah beliau lagi, status terkini bagi sepuluh (10) projek pembinaan dan menaik taraf infrastruktur jambatan pula adalah satu (1) projek sedang dalam fasa pembinaan manakala sembilan (9) lagi kini berada pada fasa perolehan dan dijadualkan akan bermula pertengahan tahun 2022.Jumlah keseluruhan kos projek bagi kesemua projek jambatan adalah sebanyak RM122.13 juta.

Selain itu, bagi pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah pula, satu (1) pakej kerja baharu yang melibatkan laluan dari Serusop ke Pituru sepanjang dua puluh perpuluhan lapan kilometer (20.8km) telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) sebagai
kesinambungan dengan izin (continuity) kepada pelaksanaan lima belas (15) pakej kerja sepanjang dua ratus lapan puluh satu kilometer (281km)yang kini dalam fasa pembinaan. Pakej kerja yang melibatkan kos berjumlah RM513 juta ini sedang dalam fasa perancangan dan dijangka akan ditender pada suku kedua tahun 2022. Sehubungan itu, sebanyak enam belas (16) pakej kerja yang telah komited pelaksanaannya pada masa kini.

Bagi memastikan semua projek yang dilaksanakan siap mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan, Kementerian Kerja Raya katanya, telah melaksanakan beberapa kaedah pemantauan seperti berikut:

Pertama: Peringkat Kementerian

i. Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian Kerja
Raya (MTPK) yang dilaksanakan secara bulanan dan
dipengerusikan oleh YB Menteri Kanan Kerja Raya atau Ketua
Setiausaha (KSU) Kementerian;
ii. Mesyuarat Koordinasi Permasalahan Kontrak (CCP)
dipengerusikan oleh KSU, berdasarkan keperluan; dan
iii. Mesyuarat berkala bersama Agensi Pelaksana.

Kedua: Peringkat Agensi Pelaksana
i. Mesyuarat Teknikal;
ii. Mesyuarat Status Kemajuan Projek secara bulanan; dan
iii. Lawatan pemeriksaan dan pengauditan projek.

Kementerian Kerja Raya jelas beliau lagi, begitu komited untuk memastikan projek-projek pembangunan infrastruktur yang telah diluluskan dapat disiapkan mengikut perancangan yang telah ditetapkan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.