PARIT SULONG – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan optimis pengundi-pengundi etnik Orang Asli akan mengundi Barisan Nasional (BN) pada 12 Mac nanti.

Katanya, biarpun begitu jenteranya tidak pernah leka untuk terus mendekati pengundi-pengundi masyarakat itu terutamanya golongan anak muda.

“Kalau ikut trend sebelum ini mereka adalah simpanan tetap (fix deposit) kepada kita dan kita tidak boleh ambil mudah apa yang trend dahulu, kita lihat hari ini kaum Orang Asli mereka dah lebih terdedah kepada dunia luar dan mereka juga ada anak-anak yang berpendidikan tinggi jadi kita melihat mereka perlu didampingi dengan cara yang sama dengan orang-orang biasa.

“Sebab itu saya akui daripada segi bantuan kepada mereka memang kita tak pernah gagal cuma hari ini kita perlu lebih mendekati mereka supaya mereka mendapat maklumat yang benar dan betul agar mereka tak terpengaruh dengan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika walk-about di Pekan Sri Medan pada Isnin.

Zulkurnain yang memegang kerusi ini selama dua penggal juga yakin masyarakat Orang Asli yang sering didampingi beliau selama ini masih kukuh di belakang BN.

“Saya sepanjang wakil rakyat saya beri penumpuan yang lebih kepada mereka dan mereka akan beri pertimbangan yang baik,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Zulkurnain berkata pihaknya mendapati peluang untuk kekal di DUN Sri Medan amat cerah dek kerana persaingan sesama sendiri antara pihak pembangkang.

Bagaimanapun beliau berkata jenteranya kini menumpukan kepada golongan pengundi pertama kali dan undi 18 tahun yang akan turun mengundi pada pilihan raya kali ini.

“Peringkat awal nampak ada laluan cerah tapi dengan tempoh dua minggu kempen ada persaingai jadi kita anggap normal dalam mana-mana PRN atau PRN, sehingga saat akhir saya perlu gandakan usaha saya dan berjumpa dengan seberap ramai pengundi.

“Saya lihat pengundi Sri Medan matang dan anak-anak muda telah terdedah dalam politik daripada umur 18 tahun dan mereka boleh menilai mana yang baik,” ujar beliau.

DUN Sri Medan menyaksikan lima penjuru antara BN dan calon PKR, Azmi Masrani; calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Mohd Firdaus Abdul Malek serta calon Perikatan Nasional (PN), Halim Othman Kepol.