Tenom bergolak, pencalonan Peter Anthony ditolak SPR

- Advertisement -

TENOM – Suasana di luar perkarangan Dewan DSP Antanom, Tenom, kecoh selepas pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Datuk Peter Anthony ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian 10 pagi itu, presiden parti berkenaan hadir di dewan pencalonan berkenaan bagi mendaftarkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen Tenom.

Bagaimanapun, sebaik permohonan ditolak, ia menyebabkan penyokong beliau berang dan terus merusuh sehingga pasukan polis yang berkawal terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

Beberapa rakaman video turut tular di media sosial yang memaparkan keadaan kekecohan di luar perkarangan Dewan DSP Antanom, Tenom lapor Harian Metro.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, kejadian berkenaan berlaku selepas pencalonan salah sebuah parti ditolak oleh SPR atas sebab-sebab tertentu.

“Pasukan polis yang dihantar untuk berkawal di dewan penamaan calon terpaksa mengambil tindakan sepatutnya.
“Keadaan dapat dikawal dengan baik bahagian di luar dewan berkenaan tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya.

Susulan itu, Peter akan memfailkan kes penolakan pencalonannya bagi kerusi Parlimen Tenom di Mahkamah Tinggi, Isnin ini.

Beliau berkata, satu laporan polis juga sudah dibuat berhubung perkara itu dan ia akan disusuli tindakan mahkamah bagi mendapatkan semakan terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, alasan bantahan itu ada kaitan dengan keputusan mahkamah dalam kes yang dihadapinya baru-baru ini tidak dapat diterima kerana sabitan ke atasnya sudah digantung.

Mengulas lanjut, Peter mendakwa insiden itu berpunca daripada SPR yang lewat memaklumkan pembatalan pencalonannya.

Katanya, semua proses penamaan calon sudah selesai dan hanya menunggu pengumuman rasmi di hadapan penyokong sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya memaklumkan pencalonannya ditolak.

Beliau berkata, ketika itu barulah beliau dimaklumkan mengenai bantahan terhadap kertas pencalonannya dari SPR pusat.

Peter berkata, beliau kemudiannya mempersoalkan kewajaran bantahan itu memandangkan tempoh bantahan sudah tamat dan proses pencalonan juga sudah selesai.

“Kita memaklumkan masa tambahan atau masa bantahan dari jam 9 pagi ke 10 pagi sudah habis.

“Pihak SPR atau Pegawai Pengurus Pilihan Raya juga sudah menerima semua dokumen tanpa bantahan dan pengiraan, cabutan nombor sudah dilakukan.

“Mengapa pula ketika saat akhir hampir jam 12 tengah hari mereka memaklumkan ada bantahan daripada SPR pusat dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya menarik semula keputusan awal,” katanya.

ADUN Melalap itu berkata, beliau kemudian bertanya sebab pencalonannya dibatalkan sebelum dimaklumkan ia adalah keputusan SPR pusat.

“Mereka (SPR) menyatakan pihak SPR Sabah tiada masalah, cuma SPR pusat yang mempunyai masalah. Jadi sebenarnya inilah yang berlaku hari ini,” katanya.

Untuk rekod pada 26 Mei 2022 lalu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah mendapati bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu bersalah atas pertuduhan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Azura berkata, selepas mendengar dan meneliti secara maksimum hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan mahkamah memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Peter.

Mengikut pertuduhan, Peter, 51, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat untuk menipu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara hingga tujuh tahun dan denda.

Azura berkata keterangan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan menyatakan bahawa syarikat Peter iaitu Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah menjalankan kerja-kerja penyelenggaran fasa pertama di UMS dan perkara tersebut tidak dinafikan pihak pembelaan.

“Terdapat keterangan mencukupi bahawa tertuduh telah menipu saksi pendakwaan ketiga, kelapan dan kesembilan dengan mengaburi pemikiran mereka mengenai ‘smart partnership’ antara anak syarikat milik penuh UMS, Ulink Property Sdn Bhd dan syarikat milik Peter, Asli Jati,” kata hakim itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat