KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka wajar ditangguhkan sebagaimana PRN Sarawak setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak terbubar secara automatik pada 7 Jun 2021 lalu,” cadang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau mengemukakan hujah relevan bagi menolak pelaksanaan PRN Melaka yakni dengan mengambil kira bahawa ekonomi negeri itu baru sahaja dibuka semula selepas siri PKP yang sering berganti sebelum ini.
“Amat kecewa dengan dua ADUN UMNO, seorang ADUN Bersatu dan seorang ADUN bekas DAP yang tumbangkan kerajaan negeri Melaka.
“Situasi ini boleh dielak dan diselesaikan secara dalaman. Tetapi kini sudah terlambat.
“Dengan mengambil kira bahawa ekonomi Melaka baru sahaja mula dibuka semula selepas PKP berganti PKP separuh masak yang begitu lama, pendapat saya ialah PRN Melaka patut ditangguh sebagaimana PRN Sarawak ditangguh setelah DUN Sarawak terbubar secara automatik pada 7 Jun 2021 lalu,” katanya dalam catatan di Facebook pada Rabu.
Semalam, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, mengambil langkah membubarkan DUN pada 5 Oktober, dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.
Pembubaran DUN Melaka itu dibuat selepas Sulaiman hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.
Keputusan pembubaran DUN itu dibuat selepas cadangan yang dikemukakan oleh Sulaiman mendapat kelulusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.