CYBERJAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh hari ini mempertahankan kenyataan sindirannya yang menyebut “tolong bagi mereka ini cermin dan kad OKU sekali” yang merujuk kepada Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), dengan menegaskan ia tidak ditujukan kepada komuniti orang kelainan upaya (OKU).
Kenyataan beliau sebelum ini mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin DAPSY, Yap Yee Vonne, yang menuntut permohonan maaf terbuka daripada Akmal kepada komuniti OKU, mendakwa kenyataan tersebut menghina dan memperlekeh golongan berkenaan.
Dalam kenyataan balasnya di media sosial, Akmal menjelaskan maksud sebenar sindiran beliau, sambil menyelar DAPSY yang menurutnya gagal memahami bahasa kebangsaan.
“Untuk makluman DAPSY, ayat saya tu nak beri cermin dan kad OKU kepada DAPSY, bukan kepada komuniti OKU tau. Bila tak faham, buat-buat faham dan mula lah melalut DAPSY ni,” katanya di Facebook.
Akmal turut menyarankan agar DAPSY mendalami penguasaan bahasa Melayu jika mahu menjadi pemimpin dalam negara ini, sambil menyifatkan pemahaman mereka terhadap kenyataannya sebagai “bebal sangat nak faham”.
Terdahulu, Yee Vonne menyifatkan kenyataan Akmal sebagai tidak wajar, apatah lagi datang daripada seorang doktor perubatan dan pemimpin kerajaan negeri.
“Adakah Akmal cuba menyatakan bahawa golongan OKU ini kurang bernilai? Kurang layak? Kurang berupaya?” soal beliau.
Menurutnya, kenyataan seperti itu memperkukuh stereotaip terhadap golongan OKU dan bercanggah dengan semangat keterangkuman yang cuba dibina dalam negara.
Yee Vonne turut memetik sumbangan besar komuniti OKU dalam pelbagai sektor termasuk sukan, pekerjaan, dan perkhidmatan awam sebagai bukti bahawa mereka tidak wajar dijadikan bahan sindiran.
Beliau menambah bahawa sebagai pemimpin, setiap kenyataan membawa kesan dan tidak seharusnya digunakan untuk “membakar sentimen secara tidak wajar”.
Isu ini tercetus susulan tindakan Akmal menyelar pihak tertentu yang mempertikaikan pendiriannya dalam kes pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di SJK(C) Port Dickson. Sindiran beliau kepada DAPSY adalah reaksi terhadap kecaman berhubung kenyataan patriotisme tersebut.



