Chia Ree Yaa, raih SPM 11A pilih TVET kejar cita-cita jadi akauntan profesional

Oleh Zihan Zari

KULIM – Pelajar cemerlang daripada komuniti India, Chia Ree Yaa menjadi kebanggaan keluarganya apabila meraih 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, mahu mengejar cita-citanya menjadi akauntan profesional.

Ree Yaa ingin membuktikan bahawa Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan pilihan strategik bagi pelajar berprestasi tinggi yang mahu terus maju dalam dunia kerjaya.

Ibunya, Bhuvaneswari A/P Jeyapalan, begitu bangga dengan pencapaian cemerlang Ree Yaa yang memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Diploma Perakaunan di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB).

“Kalau anak betul-betul nak belajar, dia akan berjaya walau di mana pun, ”itulah keyakinan Bhuvaneswari.

“Saya gembira dia masuk PTSB, ayahnya juga dulu merupakan lepasan politeknik dan kami yakin dengan kemampuan politeknik ini,”katanya ketika ditemui pada hari pendaftaran pelajar baharu PTSB Sesi 1: 2024/2025 dekat sini, baru-baru ini.

“Asalkan anak minat, kami beri sokongan penuh dan dorongan. Sebagai ibu bapa, kami sentiasa mengamalkan komunikasi terbuka dan tidak menekan anak-anak dalam membuat keputusan pengajian.

“Ibu bapa perlu jadi ruang selamat untuk anak-anak. Bila mereka yakin kita ada di belakang memberi sokongan, mereka lebih berani untuk pilih jalan hidup yang terbaik,”katanya lagi.

Ree Yaa, pelajar dari SMK Sungai Karangan, Kulim merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

Lebih membanggakan dua kakaknya turut mencatat keputusan cemerlang semua A dalam SPM dan kini sedang melanjutkan pengajian masing-masing di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

“Kakak-kakak saya banyak beri inspirasi dan perangsang serta motivasi. Mereka telah buktikan bahawa usaha dan fokus dalam kelas sangat penting.

“Saya pun nak ikut jejak mereka tapi dengan jalan dan cara saya sendiri, ”katanya.

Katanya lagi, kunci kejayaan dalam pelajaran terletak pada fokus sepenuhnya terhadap pengajaran guru dalam kelas dan memanfaatkan sokongan moral daripada keluarga.

Ree Yaa kini bersedia untuk memulakan perjalanan baharu di kampus PTSB, sebuah institusi yang terletak di tengah-tengah zon perindustrian Kulim Hi-Tech berpotensi membuka akses terus kepada peluang industri dan kerjaya masa hadapan. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat