Sarawak – Sabah metrai perjanjian bekal tenaga elektrik

- Advertisement -

KOTA KINABALU – Sarawak akan membekalkan tenaga elektrik ke Sabah melalui satu perjanjian diantara anak syarikat milik Sarawak Energy Berhad (SEB), Syarikat SESCO Berhad dan Syarikat Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) hari ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, melalui perjanjian tersebut membolehkan kedua-dua pihak merealisasikan usahasama Sarawak dan Sabah untuk bergerak ke hadapan demi mencapai Borneo Grid yang lebih besar sekaligus meningkatkan pelaburan dari luar negara.

“Saya percaya usaha ini adalah langkah yang penting untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi demi kemakmuran kita bersama di Wilayah Borneo.

“Saya yakin Sabah juga mempunyai kekuatannya sendiri, khususnya dari segi industri pelancongan, dan sektor-sektor lain, di mana kolaborasi boleh diwujudkan antara kedua-dua negeri untuk manfaat bersama di Wilayah Borneo ini,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pertukaran Tenaga Sabah-Sarawak dan Perjanjian Sambungtara 275kV di antara SESCO dan SESB secara maya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri menyambut baik inisiatif berkenaan kerana ia akan meningkatkan sistem pembekalan elektrik di Sabah sekaligus menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah dan Sarawak.

“Usaha ini akan membantu memacu pembangunan Sabah seperti yang digariskan dalam pelan pembangunan lima tahun, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada awal tahun ini.

“Ini kerana bekalan elektrik yang stabil amat penting untuk menjayakan agenda pembangunan SMJ yang berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan,” katanya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Hajiji berkata perjanjian itu sesuai dengan visi SESB untuk menjadi sebuah syarikat tenaga yang efektif, berwibawa dan pemangkin kepada pembangunan negeri Sabah.

“Justeru dalam persekitaran industri tenaga yang semakin mencabar dan harapan pengguna yang semakin tinggi untuk mendapatkan perkhidmatan yang berdaya harap, usaha-usaha seperti ini adalah sesuatu yang amat penting kepada SESB,” katanya.

Majlis yang diadakan secara maya itu disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dari Wisma Bapa Malaysia Petra Jaya di Kuching, Sarawak.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili yang mewakili Syarikat SESCO Berhad.

Turut hadir menerusi Zoom ialah Pengerusi Tenaga Nasional Berhad/SESB, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din dan Pengerusi SEB, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.

Untuk rekod, Sabah akan mengimport 30MW untuk jangka masa 15 tahun melalui talian transmisi litar berkembar 275kV sepanjang 31km dari Lawas di Sarawak ke Mengalong di Sabah.

Sambungan itu dijangka bermula pada akhir tahun 2023 setelah pembesaran grid di bawah Agenda Bahagian Utara Sarawak Energy yang menghubungkan Miri dengan bandar-bandar di utara Limbang dan Lawas di Sarawak.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat