A. Samad Said disemadikan di Bukit Kiara, lebih 300 jemaah beri penghormatan terakhir

KUALA LUMPUR – Jenazah Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada pukul 10.55 pagi tadi.

Ada seramai lebih 300 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, rakan penggiat seni dan orang ramai hadir menunaikan solat jenazah Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.

Solat jenazah itu dipimpin Imam 1 masjid berkenaan, Muhammad Abid Ayub, sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk urusan pengebumian.

Antara kenamaan yang hadir ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin.

Turut memberikan penghormatan terakhir di tanah perkuburan berkenaan ialah veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan Presiden Persatuan OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Mohd Radzi.

Tiga Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Prof Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Dr Zurinah Hassan turut hadir pada upacara pengebumian itu.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hazami Jahari serta penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 91 tahun pada pukul 6.10 petang semalam selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sakit tua, selain turut menghidap diabetes.

Dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, A Samad Said merupakan penerima Anugerah Sastera Negara keempat pada tahun 1985.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia kesusasteraan, Allahyarham terkenal menerusi sejumlah karya termasuk novel Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat