Fendy dapat rumah mampu milik DBKL

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas hampir sebulan menantikan kelulusan permohonan mendapatkan rumah mampu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR), pemain dram Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, menarik nafas lega apabila bakal berpindah ke kediaman baharu.

Fendy yang juga bapa tunggal dalam kategori orang kurang upaya (OKU) memberitahu, dia sudah menerima surat tawaran daripada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), berhubung tawaran rumah.

“Saya mendapat panggilan daripada pegawai kementerian petang semalam. Saya pergi ke pejabat DBKL bagi mendapatkan surat tawaran.

“Saya dimaklumkan dalam tempoh kira-kira dalam seminggu saya akan mendapat rumah.

“Saya sangat berbesar hati di atas kelulusan ini. Selama ini, saya berdoa agar mendapat rumah yang selesa untuk saya tinggal bersama anak dan berkarya,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Sebelum ini, Fendy meluahkan kegusaran kerana selepas hampir sebulan dikunjungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, dia belum mendapat perkhabaran mengenai permohonan mendapatkan rumah mampu milik DBKL atau PPR.

Ketika Rina bertandang di rumah sewanya di Sentul, pada 10 Julai lalu, Fendy diberi jaminan urusan mendapatkan rumah mampu milik, disegerakan. Malah, pegawai DBKL turut serta dalam lawatan itu.

Menurut Rina, Fendy sebelum ini menerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) di bawah JKM. Namun, disebabkan pendapatannya melebihi syarat sejak 2019, elaun terbabit dihentikan.

Fendy berkata, permohonan mendapatkan rumah mampu milik dikemukakan sejak 2014.

“Saya kemuka permohonan sejak berkahwin pada 2014. Dua tahun kemudian, saya diberitahu permohonan saya ‘lesap’. Baru-baru ini, saya diberitahu, permintaan saya itu masih ada dalam rekod.

“Saya kemudian meminta kawan yang celik membuat permohonan atas talian apabila diminta mengemaskini maklumat itu.

“Saya juga ada buat panggilan telefon sekitar minggu lalu, namun, tiada jawapan, tapi alhamdulillah, hari ini (semalam) saya terima panggilan,” katanya.

 

Rina ketika mengunjungi Fendy dan anaknya di kediaman di Sentul pada bulan lalu. - Foto IG Fendy Adlun
Rina ketika mengunjungi Fendy dan anaknya di kediaman di Sentul pada bulan lalu. – Foto IG Fendy Adlun

 

Fendy berkata, sejak hilang punca pendapatan lebih setahun lalu, dia sukar menjelaskan sewa rumah sebanyak RM1,300 sebulan.

“Sewa rumah ini membuatkan saya runsing. Tuan rumah sudah memberi diskaun yang banyak, namun, hanyalah sementara.

“Dengan peningkatan kes COVID-19, saya risau lebih lama tiada pendapatan.

“Setakat ini, saya menggunakan wang simpanan dan yang dihulurkan pihak prihatin. Namun, sampai bila ia boleh bertahan kerana tidak tahu bila COVID-19 akan sampai penghujungnya,” katanya.

Sementara itu, bagi meneruskan survival, Fendy mengadakan persembahan ‘busking’ secara langsung di akaun Facebook, Fendy Caliph Buskers, seminggu sekali, sejak Mei lalu.

“Namun, pendapatan ‘busking’ atas talian, tidak tetap. Misalnya, dalam tempoh EURO 2020 dan Sukan Olimpik 2020, pelayar lebih ramai mengikuti acara sukan.

“Namun, setiap bulan, boleh dikatakan saya dapat kurang daripada RM1,000 hasil persembahan ‘busking’ atas talian,” katanya.

Fendy juga menerima undangan membuat persembahan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dua kali sebulan.

Mengenai Caliph Buskers, Fendy berkata, mereka terputus punca pencarian apabila tiada tawaran diterima sejak tahun lalu.

“Kali terakhir, saya dan Caliph Buskers menerima undangan persembahan adalah pada November 2019,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat