BN belum lagi pulih

- Advertisement -

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjadi bahan perbincangan hangat dalam kalangan ahli politik, merentasi kaum dan fahaman politik malah media arus perdana sejak beberapa perwakilan Persidangan Agung UMNO (PAU) 2021, baru-baru ini menggesa Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15.

Sehubungan ini, perlu sedar bahawa Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa mutlak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen. Fasal (3) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan bahawa Parlimen boleh dibubarkan selepas lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama atau pada bila-bila masa lebih awal. Tarikh bermula mesyuarat pertama Parlimen ke-14 adalah pada 16 Julai 2018. Jadi, tempoh masa sah bagi Parlimen ke-14 adalah sehingga Julai 2023.

Dalam pada itu, ekonomi negara yang lumpuh kesan Covid-19 belum pulih secukupnya. Pengangguran boleh dirasai malah menggugat dan mencabar kehidupan selesa sebahagian besar rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40). Dengan itu sesetengah pihak berpendapat, masa ini kerajaan perlu lebih utamakan program mengurus serta baik pulih ekonomi negara dalam konteks mengawal harga barang tidak naik melambung, mengambil langkah untuk meningkat dan meluaskan peluang pekerjaan, membuka peluang bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peniaga kecil memperoleh pendapatan untuk menyara hidup.

Namun, ada dalam kalangan kepimpinan UMNO mendakwa inilah masanya untuk adakan PRU15 bersandarkan kemenangan hebat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Mereka mendakwa BN menang besar kerana faktor peralihan sokongan pengundi kepada UMNO/BN. Dengan itu, sekiranya diadakan PRU15 pada masa ini, maka BN dapat mengekalkan momentum mood kemenangan yang diperoleh pada PRN Melaka dan Johor.

Sebaliknya, ada setengah pihak menyanggah dakwaan kononya BN menang hebat pada PRN Melaka dan Johor kerana pengundi yang menolak BN pada PRU14 kembali menyokong BN. Polemik terhadap faktor kemenangan BN pada PRN Melaka dan Johor timbul dalam kalangan rakyat terutama pemerhati politik.

Dalam usaha menghurai polemik tersebut, baiknya kita terlebih dahulu meneliti dan menghalusi jumlah undi yang diperoleh oleh 15 parti yang bertanding pada PRN Johor.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah yang keluar mengundi di PRN Johor adalah 1,426,573 atau 54.92 peratus daripada jumlah pengundi yang layak mengundi. Daripada jumlah tersebut, BN memperoleh 599,753 undi atau 43.1 peratus. Dalam pada itu, hampir 56.9 peratus pengundi didakwa memilih parti bukan BN.

Perikatan Nasional (PN) memperoleh 334,457 (24.04 peratus) manakala Pakatan Harapan (PH) 284,969 (20.48 peratus). Lebih kurang setengah daripada jumlah pengundi berdaftar tidak hadir untuk mengundi atas sebab-sebab tertentu.

Kedudukan taburan jumlah undi ini jelas menunjukkan BN belum pulih sokongannya seperti didakwa setengah pihak. Namun, BN mengungguli kemenangan atas amalan sistem pilihan raya model Westminster, iaitu first past the post atau kemenangan kepada pihak yang memperoleh undi terbanyak atau pemenang adalah calon yang memperoleh undi mengatasi pesaing walaupun lebih satu undi.

Pola pengundian pada PRN Johor menunjukkan kadar sokongan pengundi Melayu terhadap BN tidak banyak berubah (kekal 60 peratus) berbanding PRU14. Sebaliknya, sokongan pengundi India meningkat lapan peratus sambil Cina menurun dua peratus.

Namun, BN menang 40 kerusi daripada 56 termasuk MCA dan MIC menambah kerusi. Perpecahan undi Melayu dalam kalangan beberapa parti yang menentang BN dilihat banyak menyumbang kepada kemenangan BN. Contoh terbaik adalah keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, kawasan yang terdiri daripada majoriti pengundi Melayu (komposisi Melayu 82%, Cina 15% dan India 1.7%). Calon BN (Raven Kumar Krishnasamy) memperoleh 10,528 undi dan PN (Cikgu Lan) memperoleh 9,172. Jumlah undi yang memihak parti bukan BN adalah 10,914.

Dalam hal ini, andainya wujud pakatan politik parti-parti yang menentang BN seperti pada PRU14, maka BN sukar meraih kemenangan di beberapa DUN, malah sukar membentuk kerajaan BN di Johor tanpa gabungan dengan parti lain. Jumlah undi yang diperoleh parti bukan BN di DUN Kemelah, Tenang, Gambir, Serom, Bukit Naning, Pulau Sebatang, Bukit Permai, Kempas, Permas, Tiram, Tenggaroh, Semerah, Senggarang, Parit Raja, Larkin dan Balang jelas menunjukkan sokongan terhadap BN bukan hebat seperti didakwa. Parti lawan BN didapati memperoleh jumlah undi yang lebih daripada BN dalam 15 DUN tersebut.

Apa lagi undi golongan muda susulan Undi18 juga didapati lebih memihak kepada parti bukan BN. Kemenangan calon muda berumur 26 tahun di DUN Mengkibol dan Tangkak jelas menunjukkan mereka menolak BN dan kecenderungan politik pengundi muda jelas memberi isyarat awal bagi PRU15.

Sebahagian besar rakyat merentasi kaum dan fahaman politik pula berpendapat, mereka menyampah dengan gelagat sesetengah ahli politik dan pilihan raya yang diadakan semata-mata untuk menguji siapa lebih berkuasa dalam medan politik. Mereka menggesa keutamaan kerajaan pada ketika ini adalah memulihkan ekonomi negara supaya rakyat dapat hidup sihat, senang dan selesa. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosiopolitik.

ARTIKEL Asal Utusan Online

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat