Penstrukturan tol: Inisiatif kerajaan sejak 2002, bukan dasar PH – Fadillah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menafikan dakwaan berhubung penstrukturan tol, yang menurut Pakatan Harapan (PH) merupakan dasar yang diperkenalkan gabungan parti itu.

Katanya, penstrukturan tol bukan dasar PH kerana inisiatif itu sudah dilaksanakan sejak 2002 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Beliau menjelaskan, Kementerian Kerja Raya (KKR) memulakan inisiatif berhubung isu berkaitan tol sejak 2002, manakala PH menjadi kerajaan 16 tahun kemudian, iaitu selepas pilihan raya umum pada 2018.

“Sejak 2002, kerajaan (ketika itu BN) telah membuat keputusan supaya KKR bersama agensi kerajaan lain yang berkaitan, berunding dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya bagi penstrukturan semula kadar tol lebuh raya-lebuh raya utama di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadillah berkata, penstrukturan merupakan suatu inisiatif berterusan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kadar tol yang tinggi.

Katanya, strategi rundingan penstrukturan adalah dengan mengambil kira perkara-perkara seperti berikut:
i. Mengurangkan kadar tol lebuh raya antara bandar secara berperingkat-peringkat;
ii. Kenaikan kos sara hidup rakyat;
iii. Komitmen syarikat konsesi (pinjaman);
iv. Kesan kepada tanggungan Kerajaan (pampasan)
v. Kadar tol lebuh raya.

Berdasarkan aspirasi kerajaan, kesemua lebuh raya yang beroperasi ketika ini telah melalui beberapa penstrukturan bagi memastikan kadar tol yang dikutip adalah berpatutan.
Sebagai contoh, kadar tol Lebuh Raya Damansara Puchong telah distruktur semula kepada kadar sekarang pada 2007.

Selain daripada itu, beberapa plaza tol telah dimansuhkan antaranya Slim River, Perak pada 1993, Senai, Johor Bahru pada 2004, Plaza Tol Salak Jaya, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) pada 2009, Plaza Tol satu hala Kg Medan, Lebuhraya Baru Pantai pada 2011, satu hala Plaza Tol Lebuhraya Cheras-Kajang pada 2012 dan Lebuhraya Persekutuan, Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di Johor pada 2018.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 4 Apr lalu mengumumkan kadar tol melibatkan empat syarikat konsesi lebuh raya sekitar Lembah Klang tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat tempoh konsesi melalui langkah penstrukturan semula syarikat berkenaan.

Majlis Presiden PH kemudiannya berkata, langkah tidak menaikkan kadar tol empat lebuh raya itu merupakan kesinambungan kepada usaha yang dimulakan kerajaan PH pada Okt 2019.

Katanya, majlis jemaah menteri pada ketika itu memutuskan secara dasar untuk memulakan proses mengambil alih lebuh raya-lebuh raya tersebut.

-ASTRO AWANI

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat