Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus menggerakkan agenda pembangunan dan pemerkasaan wanita agar mereka dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup masing-masing.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato ‘ Sri Hjh. Nancy Shukri berkata demikian ketika merasmikan Women in Leadership Seminar 2024 di Pusat Konvensyen Leo Moggie, Ibu Pejabat TNB Bangsar pada Isnin.
Menurut Nancy, di peringkat global, wanita memegang peranan penting dalam ekonomi, khususnya dalam sektor pertanian yang membentuk sehingga 43% tenaga kerja dan di sesetengah negara meningkat sehingga 70%.
Menurutnya, peranan mereka menjadi lebih jelas lagi apabila separuh daripada penduduk Malaysia adalah wanita, berdasarkan laporan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan jumlahnya pada 2023 dianggarkan seramai 33.4 juta dengan 15.9 juta adalah wanita.
Menurutnya lagi, nisbah antara lelaki dan wanita adalah sekitar 109:100 dan hampir 70% dari mereka yang berada di institusi pengajian tinggi adalah wanita. Berbekalkan pendidikan serta kegigihan mampu menembus tembok-tembok penghalang dan membuktikan mereka mampu menggalas tampuk kepimpinan.
“Wanita kini telah diberi mandat di peringkat membuat keputusan sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, Hakim, Ketua Setiausaha , Ketua Pengarah, Naib Canselor dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Dalam aspek kewangan pula kita harus mengakui bahawa wanita sebahagian dari tenaga kerja global dan ekonomi domestik turut berperanan memajukan negara, ”katanya.
“Mengenai kesihatan mental adalah aspek penting yang sering diabaikan, namun perlu diberi perhatian, penting nya kesihatan fizikal untuk menjamin kesejahteraan wanita secara menyeluruh, ”ulasnya.
“Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 41.9% wanita menghadapi masalah kesihatan mental, dibandingkan dengan lelaki sebanyak 29.3%.
Pentingnya kesedaran dan stigma masyarakat, pendidikan tentang tanda-tanda awal, serta akses kepada sokongan dan terapi berkualiti, menjadi kunci dalam membentuk masyarakat yang kuat dan inklusif serta memperolehi kesejahteraan mental yang lebih baik, ”ulasnya lagi.
Dalam konteks kekeluargaan pula, beliau berkata, isu kekerasan terhadap wanita mencatatkan 9,334 kes pada 2021 dan 8,580 kes pada 2022 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“KPWKM mengambil langkah proaktif menjalankan kempen ‘Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’ dan pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual 2022 serta 65 program Advokasi Antigangguan Seksual (AAGS) pada 2023 melibatkan 25,251 peserta, ”katanya.
“Kerajaan telah mengumumkan enam inisiatif pemerkasaan wanita madani bagi membangunkan masyarakat secara inklusif agar berdaya saing antaranya program i-Sayang di bawah KWSP, Tabung Kasih Wanita B40 dan program AAGS.
Inisiatif ini, termasuk program Jerayawara Kasih KPWKM@ AAGS bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan masyarakat mengenai pentingnya melindungi wanita dari keganasan, ”katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha murni Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS), Bahagian Hal Ehwal Wanita (HELWA) dan Persatuan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI) memperkasakan kaum wanita berteraskan formula 5K (Kepimpinan, Kesihatan, Kekeluargaan, Keperibadian dan Kewangan) amat disanjung tinggi.
Ianya pasti menaikkan lagi semangat wanita untuk bersama-sama memainkan peranan memajukan keluarga, masyarakat dan negara.
“Program ‘Women Empowerment’ memperlihatkan sokongan TNB dalam menyediakan platform untuk pekerja wanita menimba ilmu pengetahuan menerusi sesi perkongsian maklumat dengan para jemputan dalam pelbagai topik yang berkaitan, mencerminkan kesungguhan wanita terhadap perjuangan hidup mereka sebagai pekerja, isteri, ibu dan anak, ”katanya.
Menurutnya, terdapat peningkatan dalam bilangan pekerja wanita di dalam pengurusan tertinggi TNB pada 2023, seramai 122 orang atau 26.5%, merupakan trend peningkatan sejak 2021.
“Saya amat berbangga kerana TNB menyokong pembangunan tenaga kerja wanita, inisiatif ini dapat mengukuhkan usaha kerajaan dalam mewajibkan pelantikan 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), ”ujarnya.
“Adalah penting kesaksamaan gender dalam pekerjaan dan peluang ekonomi serta menyediakan akses kepada pendidikan dan latihan kepemimpinan memastikan wanita dapat memberi sumbangan sepenuhnya kepada ekonomi Malaysia Madani, ”ujarnya lagi. – SUARA.TV