Ismail Sabri hulur sumbangan kepada 8 beradik yatim piatu akibat COVID-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menziarahi lapan beradik yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik COVID-19 pada 2021.

Dalam kunjungan pada petang Selasa, Ismail Sabri menziarahi di kediaman lapan beradik itu di Taman Adenium, Bukit Beruntung dan meluangkan masa lebih sejam bertanya khabar selain menyampaikan bantuan persekolahan dan menara gading disumbangkan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).

Ismail Sabri memberitahu, YKM ditubuhkan pada 2021 sempena 100 hari Pelancaran Keluarga Malaysia sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

“Kita wujudkan YKM ini untuk membantu anak yatim dan yatim piatu yang ibu bapa mereka meninggal dunia akibat COVID-19,” katanya lapor Sinar Harian pada Rabu.

Bapa kepada lapan beradik itu, Benyajeed Bernie meninggal dunia pada 16 Julai 2021, manakala isterinya Noraini Ibrahim meninggal dunia dua hari kemudian akibat COVID-19.

Pasangan tersebut meninggalkan lapan anak iaitu Nazurah Nabilah, 22; Muhamad Muzakkir, 21; Nurhani Nabilah, 19; Nurnasuhah Nabilah, 17; Muhammad Benjamin, 16; Muhammad Bennazir Sulaiman, 13; Nur Rawdah Nabilah, 11, dan Nur Qurratu Ain Nabilah, 7 tahun.

Menurut Ismail Sabri, seramai 589 anak-anak yang belajar di peringkat prasekolah bermula usia enam tahun sehingga mahasiswa ijazah pertama di institut pengajian tinggi menerima bantuan sebanyak RM300 setiap seorang.

Ahli Parlimen Bera itu menambah, sumbangan itu telah dimasukkan ke dalam akaun bank penerima bermula pada Selasa dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM176,700.

“Anak-anak yang layak menerima bantuan ini dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp dan surat yang di pos ke alamat rumah masing-masing.

“Seperti mana yang telah kita janjikan dulu, mereka yang terdiri dalam kalangan anak-anak golongan B40 akan dibantu sehingga mereka tamat pengajian universiti.

“Bagaimanapun, sekiranya mereka tidak meneruskan pelajaran, bantuan mereka akan ditamatkan apabila usia mereka 18 tahun,” jelas beliau.

Tambah Ismail Sabri, selain dua bantuan itu, YKM akan terus menyalurkan bantuan-bantuan lain dan mengadakan program khusus untuk memastikan anak-anak terus terbela.

“YKM telah mengumpulkan lebih 5,000 data anak-anak yang kehilangan insan tersayang dan tumpuan kita memberi bantuan secara one-off bagi meringankan beban mereka menyambut Aidilfitri.

“Kita jangka bantuan kewangan ini dapat dimasukkan ke dalam akaun mereka pada pertengahan Ramadan tidak lama lagi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga berharap syarikat korporat dapat menyumbang melalui YKM agar lebih banyak saluran bantuan dapat diberikan kepada golongan memerlukan.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana menyambung apa yang telah saya ilhamkan dan terus membantu dari segi kewangan,” jelas Ismail Sabri lagi.

Sementara itu, Nazurah Nabilah menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan serta bantuan YKM.

Menurut anak sulung daripada lapan beradik itu, dia terkejut apabila dimaklumkan Ismail Sabri berhasrat menziarahi mereka sekeluarga dan menyampaikan sumbangan.

“Saya rasa terharu, gembira dan berterima kasih atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan.

“Kami bertuah kerana ini kali kedua beliau berkunjung ke rumah dan prihatin dengan kebajikan kami sekeluarga,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat