PARIT JAWA – Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperketat proses pengundian termasuk larangan membawa masuk telefon bimbit ke pusat pembuangan undi.

Kata beliau kelonggaran SPR selama ini telah dimanipulasi parti politik tertentu.

Rafiq mendakwa ada parti politik tertentu mendesak pengundi mengambil gambar kertas undi untuk diberikan habuan sebagai balasan undi tersebut.

“Saya berpendapat bahawa SPR perlu memastikan bahawa antara isu yang perlu diberikan penekanan adalah semasa proses pembuangan undi.

“Ada beberapa pihak yang telah mengambil gambar kertas undi bagi tujuan menunjukkan kepada parti politik tertentu.

“Saya ada bukti satu rakaman video perbualan telefon antara jentera parti tertentu meminta pengundi untuk tangkap gambar untuk ditunjukkan kepada jentara supaya dapat dituntut wang RM200.

“Ini satu yang melanggar akta kesalahan Pilihan Raya di mana pemberian wang itu melanggar akta tetapi juga tindakan mengambil gambar kertas undi itu juga melanggar peraturan,” kata bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka itu ketika ditemui media di Pasar Awam Parit Jawa, pagi tadi.

Rafiq meminta SPR mencari mekanisme kerana di PRN Melaka berlaku kesalahan serupa.

“Sesiapa yang tunjuk kertas undi, dapat RM200 kalau pangkah parti itu.

“Jadi saya nak minta SPR pastikan bahawa kesalahan ini tidak berulang dan penguasaan lebih ketat dan saya cadangkan semasa proses pengundian itu jangan benarkan telefon bimbit dibawa.

“Saya mohon sokongan daripada semua pemimpin politik supaya menjaga kerahsiaan.

“Saya mohon SPRM perlu memantau dengan lebih ketat proses-proses pembelian undi ini menjelang PRN Johor. Saya yakin ianya akan semakin rancak untuk merasuah para pengundi. Sekarang rakyat tengah susah dan ini akan mejelaskan pendirian pengundi nanti,” katanya.

Pun begitu Rafiq berkata tidak akan membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan.

“Kita tidak buat laporan polis tapi saya nak cadangkan solusi dan SPR.

“Kena ketatkan penguasaan kalau boleh telefon pintar tak perlu bawa dan SPR perlu lebih tegas.

“Saya tidak ada sebut secara spesifik tapi secara kasarnya di Melaka ada berlaku proses pembelian undi daripada parti tertentu,” katanya. – Suara.TV