Allah Turunkan Muhyiddin Di Bumi Malaysia, Hapuskan Hutang Peneroka Felda – Azmin

SUNGAI BALANG – “Sekali lagi Alhamdulillah, Allah turunkan Tan Sri Muhyiddin Yassin di bumi Malaysia ini dan diangkat menjadi Perdana Menteri,” kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, pada 2021 Muhyiddin selaku Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan selaku hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion dihapuskan sama sekali.

“Ini fakta, sekarang peneroka-peneroka Felda senyum, bersyukur kerana kalau tidak mereka kena bayar sehingga RM150,000 hari ini.

“Nasib baik Tan Sri Muhyiddin Yassin selamatkan seluruh peneroka Felda, tak perlu bayar hutang.

“Siapa yang selamatkan Felda? Abah ka bossku?

“Bossku masuk Felda buat apa? Dia nak mencuri lagi ka? Tak cukup? Soal Azmin.

Hal demikian Azmin yang juga Ketua Penerangan PN itu menyeru anak muda supaya bangkit tolak perasuah dalam PRN Johor 12 Mac ini.

“Anak muda kena bangkit dan berani meyatakan kami anak muda Bangsa Johor tolak perasuah dalam PRN Johor,” katanya dalam siri ceramah di DUN Sungai Balang, malam tadi.

Untuk rekod pada 7 Julai 2021 kerajaan PN secara dasar bersetuju dengan cadangan pihak Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia akan dilaksanakan melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal.

Katanya, dengan inisiatif ini, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka.

“Purata bayaran balik pinjaman pula dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka,” kata Muhyiddin.