MUAR – Nampaknya Datuk Seri Najib Razak enggan menyahut cabaran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk berdebat isu siapa khianat Felda.

Kata Najib beliau lebih berminat untuk berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berbanding Azmin.

Susulan itu, Azmin mengakui kegentaran Najib itu kerana semua maklumat kecurangan Felda ada dalam tangan dan pengetahuan beliau membuatkan Najib enggan berdebat dengannya.

“Kenapa tak mahu debat dengan saya? Sebab saya yang telah melakukan audit pengurusan Felda. Saya yang dipertanggungjawabkan untuk menyiapkan Kertas Putih tentang pengurusan Felda dan saya yang bentangkan Kertas Putih ini di dalam Parlimen dan dibahas oleh semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang yang merupakan UMNO dan BN ketika itu.

“Memang syor yang dikemukakan Kertas Putih dan beberapa saranan yang saya kemukakan termasuk pengambilan semula tanah yang dipajak kepada FGV perlu diserahkan semula antara syor yang saya bentangkan adalah menghapuskan hutang peneroka Felda.

“Kemudian kita melihat beberapa kecurangan berlaku tentang urus tadbir Felda dimana perkara itu dimana saya dan kepimpinan telah mengambil tindakan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Malah ada yang sudah didawka di mahkamah dan sedang dalam penyiasatan tentang pembelian beberapa hartanah FELDA di beberapa lokasi di dalam negara malah luar negara jadi semua maklumat ini ada dalam tangan dan pengetahuan saya,” respons Azmin.

Kata beliau, ia telah diterjemahkan dalam bentuk Kertas Putih dan terpulang kepada kebijaksanaan Najib mempertimbangkan semula supaya perkara ini dapat kita laporkan kepada rakyat dan seterusnya peneroka Felda apa yang berlaku sebenarnya sebelum ini.

Ditanya adakah Najib menganggap Azmin tidak setara dengannya beliau berkata,” mungkin Najib rasa begitu kerana saya adalah pemimpin kecil,” kata Azmin ketika ditemui media di Kampung Parit Keroma, pada Ahad.

Awal hari ini Najib dalam ucapannya di Felda Ayer Hitam membidas pelawaan Azmin untuk berdebat isu Felda.

“Semalam saya tengok ada pula orang nak debat dengan saya… dia kata kononnya saya merosakkan Felda.

“Datuk Seri Azmin Ali dia nak debat dengan saya. Saya boleh debat dengan dia tapi masalahnya muka dia kabur muka dia tak berapa jelas dalam video, susah nak debat dengan muka tak berapa jelas, tak terang.

“Tapi takpalah kalau saya nak debat lebih baik saya debat dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Muhyiddin dan sama Azmin debat pasal hal Felda, jangan tipu Felda kerana nak undi,” kata Najib menjawab Azmin.